Khamis, 18 Ogos 2011

Dr M: Panel khas bukan untuk penuhi kehendak pembangkang



PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penubuhan jawatankuasa pemilih Parlimen untuk mengubah proses pilihan raya bukan memenuhi kehendak pembangkang semata-mata.

Ini kerana, katanya, penipuan juga berlaku di pihak pembangkang ketika beliau menjadi perdana menteri.

Sambil mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa itu, Dr Mahathir mendedahkan ada kes yang mana sebuah rumah digunakan sebagai alamat 50 pengundi yang bukan penduduk kawasan terbabit.

"Perkara seperti inilah yang Suruhanjaya Pilihan Raya wajar teliti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen mengumpul sumbangan untuk mangsa kebuluran di Somalia menerusi Tabung Bencana NSTP-Media Prima, di sini Rabu.

Hadir sama isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Datuk Ahmad Talib dan Naib Presiden Mercy Malaysia Prof Madya Dr Mohamed Ikram Mohamed Salleh.

Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa tersebut bagi mencari langkah terbaik mengubah proses pilihan raya di negara ini demi memastikan ia adil dan telus.

Jawatankuasa itu akan disertai anggota Parlimen yang menyokong kerajaan dan juga pembangkang.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata amnya pilihan raya di negara ini adalah bersih.

"Di Malaysia, pada setiap pilihan raya, anda akan dapati pembangkang bukan saja memenangi kerusi tetapi memenangi kerusi di negeri berbeza. Mungkin ada sedikit perkara yang tidak kena, tapi keseluruhannya pilihan raya di Malaysia bersih," katanya.

Perkara itu kata beliau tidak berlaku di sesetengah negara di mana 99 peratus undi untuk parti tertentu sahaja.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berharap rakyat Malaysia akan menyokong usaha tersebut dan mengumpul sebanyak mungkin dana untuk membantu rakyat Somalia.

"Kita telah mengumpul banyak wang untuk membantu Gaza, mangsa gempa bumi di Pakistan, rakyat Aceh yang dilanda tsunami.

"Saya fikir kita sudah berasa letih sedikit namun saya gembira mengatakan itu tidak benar. Rakyat berasakan kita perlu lakukan sesuatu untuk membantu mereka ini," katanya.

Dr Mahathir berkata Yayasan Al-Bukhary telah berikrar untuk menyumbang RM750,000 kepada dana itu, manakala Yayasan Keamanan Global Perdana akan menyumbang RM50,000 dan sebuah lagi persatuan sebanyak RM10,000.

Beliau turut memberi sumbangan peribadi kepada tabung itu yang digerakkan bersama NSTP-Media Prima dan Mercy Malaysia.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian, krisis kebuluran di Somalia membabitkan kira-kira 3.2 juta penduduk.- Bernama

Tiada ulasan: