Selasa, 2 Ogos 2011

DBP: Masalah Dawama punca 10 majalah gagal terbit

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak dapat mengeluarkan 10 majalah bulanan, edisi Julai seperti biasa bulan lalu kerana syarikat konsesi yang dilantik mencetak, mengedar dan memasarkan bahan bacaan terbitan agensi itu, Dawama Sdn Bhd sedang menghadapi masalah dalaman.

Ia tidak menyebut apa masalahnya, tetapi ia berkaitan dengan soal kewangan.

“Ekoran itu, 10 majalah DBP edisi Julai gagal dipasarkan seperti yang dijadualkan,” kata DBP dalam satu kenyataan dikeluarkan akhbar tempatan hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat, DBP berkata pihaknya mahu diberikan untuk mengatasi masalah tersebut agar penerbitan dan pemasaran majalah terbitannya berada dalam pasaran seperti yang dijadualkan.

Pada 18 Julai lalu, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa krisis antara DBP dan Dawama menyaksikan kesan awal dengan 10 majalah edisi bulan Julai keluaran agensi kerajaan pusat itu tidak muncul di pasaran.

Difahamkan, ini kali pertama dalam tempoh lima dekad, DBP berhadapan dengan masalah untuk mengeluar dan memasarkan majalahnya tepat pada masa.

Tinjauan The Malaysian Insider juga mendapati kesemua 10 majalah edisi Julai, yang sepatutnya diterbitkan dan diedarkan akhir Jun lalu, tidak menemui para pelanggan.

DBP mengeluarkan majalah bulanan Dewan Masyarakat, Dewan Ekonomi, Dewan Siswa, Dewan Budaya, Dewan Pelajar, Dewan Bahasa, Tunas Cipta, Dewan Kosmik, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa.

Tiada maklumat rasmi terbaru tentang kadar edaran majalah-majalah keluaran DBP, tetapi butiran Media Planning Guide menunjukkan pasarannya adalah antara 30,000 hingga 100,000 naskhah sebulan.

Dewan Masyarakat dan Dewan Pelajar merupakan majalah terawal dikeluarkan oleh DBP iaitu masing-masing sejak 1963 dan 1967.

Akhir Jun lalu, The Malaysian Insider juga ada membawa laporan bahawa kedua-dua pihak itu berhadapan dengan “perang dingin” dan ia dipercayai meruncing ketika minggu ketiga bulan Jun, di sebalik isu kemerosotan penjualan dan cetakan buku dan majalah terbitan agensi itu sejak beberapa tahun lepas.

Difahamkan pengurusan kedua-dua entiti itu kini memasuki satu persekitaran yang sangat parah dengan dikatakan tidak dapat bersemuka dalam menyelesaikan isu mereka, sekali gus meletakkan DBP dalam keadaan serba salah.

DBP merupakan agensi yang terletak di bawah pengawasan Kementerian Pelajaran.

Dawama diberi tanggungjawab mencetak dan memasarkan bahan bacaan terbitan DBP menerusi kontrak yang ditandatangani pada 1 September 2002.Tempoh kontrak dengan syarikat konsesi itu adalah selama 12 tahun dan akan tamat pada 2014.

Dalam perkembangan lain, berkuat kuasa hari ini Dawama telah mengarahkan kesemua pekerjanya bercuti tanpa gaji sehingga pertikaian dengan DBP dapat diselesaikan.

Dawama mempunyai sekitar 400 pekerja termasuk di Sabah dan Sarawak.

Tiada ulasan: