Di bawah konsesi 12 tahun, sejak 2002, Dawama perlu mencetak, mengagih dan memasarkan buku dan majalah terbitan DBP.
Justeru, menerusi satu kenyataan dikeluarkan tengah hari ini, Dawama berkata ia akan mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan konsesi dengan agensi Kementerian Pelajaran itu.
“Akibat daripada tindakan-tindakan DBP, Dawama Sdn Bhd tiada pilihan lain kecuali mengambil nasihat undang-undang untuk menguatkuasakan hak Dawama Sdn Bhd,” katanya lagi.
Dawama berkata isu semasa memuncak sejak kebelakangan ini akibat tindakan DBP, sejak bulan lalu untuk mengambil alih penerbitan buku teks kegunaan sesi persekolahan tahun depan tanpa memberi notis penamatan konsesi.
“Ini dengan jelas adalah satu tindakan melanggar perjanjian konsensi (dimeterai) antara DBP-Dawama pada tahun 2002. Ini telah menjejaskan operasi syarikat,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu berkata, Dawama adalah sebuah syarikat konsesi swasta khusus yang diberi tanggungjawab untuk mencetak dan mengedar buku teks dan judul am terbitan DBP.
Katanya, secara purata lebih 85 peratus daripada perolehan syarikat tersebut adalah dari hasil jualan buku teks.
Dawama mendakwa DBP juga telah bertindak sendiri apabila telah menyerah hak mencetak dan mengedar kepada pihak ketiga dan terus melantik pihak-pihak tersebut tanpa perundingan atau persetujuan pihaknya.
“Ini telah mendatangkan kesan yang buruk kepada pekerja dan syarikat di mana hak-hak pekerja dan syarikat telah dinafikan,” katanya lagi.
Ia seterusnya berkata, ekoran tindakan DBP itu, pihaknya tiada pilihan kecuali mengambil tindakan memberi cuti tanpa gaji kepada pekerja-pekerja.
“Walau bagaimanapun pihak syarikat bersetuju untuk membayar pekerja-perkerja tersebut 12 hari gaji seperti yang diperuntukkan dalam Akta Kerja
1955, berdasarkan saranan Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia dan memeriksa semula isu ini,” jelas kenyataan itu lagi.
Dilihat sebagai langkah mempertahankan kedudukannya, kenyataan itu menambah, sebelum ini Dawama telah tahun demi tahun menerima surat-surat penghargaan daripada DBP.
“Sepanjang lapan tahun beroperasi sehingga September 2010, syarikat telah menyumbang secara langsung dan tidak langsung melebihi RM900 juta kepada DBP dan kerajaan melalui pengambilalihan asset dan liabiliti DBP berkaitan konsesi dan bayaran fi tahunan, 30 peratus dari jualan kasar buku teks dan 20 peratus dari jualan kasar pasaran terbuka, penjimatan kos operasi termasuk kos sumber manusia, pembayaran kepada pencetak dan pengedar bumiputera dan pembayaran cukai kepada kerajaan,” katanya lagi.
Rabu lalu, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkash berkata, kerajaan menyerahkan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdasna Menteri untuk menentukan status konsesi mencetak dan memasarkan buku dan majalah DBP yang diberikan kepada Dawama. “DBP tidak boleh memutuskan sama ada untuk menamatkan (konsesi dengan Dawama) ataupun sebaliknya,” kata Puad.
Difahamkan urusan mencetak dan membekalkan itu melibatkan 53 judul buku teks untuk 2012 dan 175 buku yang perlu diulang cetak.
Puad juga menegaskan, dakwaan bahawa pekerja-pekerja Dawama diminta mengambil cuti tanpa gaji atas alasan DBP telah memungkiri konsesi adalah tidak berasas.
“Ia tidak berasas. Dawama mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya kerana kesatuan tidak dirunding terlebih dahulu,” kata beliau.
Krisis DBP-Dawama dilihat memuncak 1 Ogos lalu apabila sekitar 400 pekerja syarikat itu mengarahkan mereka bercuti tanpa gaji.
Dalam notis kepada pekerja-pekerjanya, ia menggariskan pertikaian berkaitan kemungkiran konsesi dengan DBP sebagai punca.
Dawama diberi tanggungjawab mencetak dan memasarkan bahan bacaan terbitan DBP menerusi kontrak yang ditandatangani pada 1 September 2002 dan sejak itu didakwa berlaku kemerosotan yang agak ketara daripada segi cetakan dan jualan.
Tempoh kontrak dengan syarikat konsesi itu adalah selama 12 tahun dan akan tamat pada 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan