KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memberi penjelasan berhubung dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa 200,000 warga Indonesia telah didaftarkan sebagai pengundi.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata demikian merujuk kenyataan Ketua Pembangkang itu di Manila, Filipina.
Akhbar The Phillipine Star melaporkan kenyataan Anwar bahawa selain Warga Indonesia, rakyat Filipina di Sabah juga dibenarkan mendaftar dalam senarai pemilih, bagi membolehkan mereka mengundi Barisan Nasional.
“SPR perlu menyiasat dan tampil memberi penjelasan atas dakwaan ini,”
“Jumlah 200,000 begitu besar dan jika benar mengapa beri mereka hak mengundi?,” kata Maria ketika dihubungi Keadilandaily.
Dalam masa sama, beliau juga mendesak SPR memberi penjelasan berhubung dakwaan kerajaan Pulau Pinang, bahawa 32,000 pengundi baru dikesan di negeri itu dalam tempoh hanya tiga bulan.
“SPR perlu menjelaskan kenapa ada peningkatan (pengundi) mendadak di Pulau Pinang, mereka perlu memantau perkara ini dan tidak boleh menutup mata,” katanya.
Sementara itu, Gabungan Bersih juga menuntut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) agar tampil memberikan bukti dalam bentuk dokumen berhubung isu Mismah, pemegang status Penduduk Tetap (PR) yang didaftar sebagai pengundi baru.
Katanya, alasan JPN bahawa ia adalah kesilapan teknikal dengan menukar status berkenaan kepada warganegara selepas empat jam didedahkan media, adalah tidak mencukupi.
“Saya minta JPN tampil kemukakan bukti dan bukan hanya mengeluarkan kenyataan (penafian),” tegasnya.
Keadilandaily difaham bahawa Bersih akan menghantar surat peringatan kepada SPR dalam masa terdekat.
“Sudah tiga bulan kita beri masa untuk SPR membersihkan daftar pengundi. Tapi masih lagi tiada perubahan.”
Maria pada masa sama memberitahu Bersih bakal menganjurkan bengkel kesedaran seluruh negara bagi menyedarkan rakyat tentang kepentingan reformasi pilihanraya selepas Sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan