Ahad, 28 Ogos 2011

AirAsia-MAS, sejarah kegagalan Mahathir!

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

PAS menyifatkan pertukaran saham antara Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) dengan AirAsia bakal mengulangi sejarah kegagalan dasar penswastaan era Tun Dr Mahathir Mohammad

Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar berkata, ketika era pemerintahan Tun Mahathir, berlakunya perpindahan MAS kepada Tan Sri Tajudin Ramli yang menyebabkan kini syarikat itu kerugian kira-kira RM8 bilion.

Ia boleh dilihat dengan kaitan isu penyelesaian luar mahkamah saman syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terhadap Tajudin yang sekali gus menggambarkan kegagalan dasar bekas Perdana Menteri itu, kata Mahfuz.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya di Pejabat Agung PAS dekat sini 15 Ogos lalu.

Ujar Mahfuz, keduadua perkara ini (pertukaran saham dan penyelesaian saman luar mahkamah) merupakan simbol kronisme dan rasuah yang paling hebat dan penswastaan.

Ianya dilakukan atas dasar ‘who do you know’ dan ‘lu tolong gua, gua tolong lu’, kata Mahfuz sinis.

Bagi Mahfuz, meskipun Mahathir telah bersara selama lebih kurang tujuh tahun, namun rakyat masih dihambat dengan bebanan yang ditinggalkan bekas Presiden Umno itu yang menerajui negara selama 22 tahun.

Bebanan paling besar ialah dasar penswastaan yang menjahanamkan wang rakyat terutama dalam isu peralihan MAS kepada Tajudin Ramli, ujarnya.

Beliau menyimpulkan pertukaran saham Air Asia yang lebih tinggi berbanding saham MAS akan sekali lagi menyaksikan sejarah berulang seperti mana perpindahan MAS, syarikat yang dimiliki rakyat dan negara kepada Tajudin Ramli Mahfuz mendakwa hal itu menunjukkan berlakunya permulaan kembali kepada zaman lama yang berkemungkinan suatu hari nanti AirAsia boleh mengambil alih MAS secara sepenuhnya.

Sambil menyifatkan ianya satu keputusan yang tiada ketelusan, beliau melihat kebobrokan pada zaman Mahathir kini diteruskan malah digandakan oleh anak didiknya, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Mengulas hal itu, Mahfuz berkata beliau tidak pasti sama ada urusan pembelian saham tersebut sebelum itu diadakan mesyuarat agung dengan mendapat persetujuan pemegang saham minoriti.

Beliau meminta dalam isu penjualan pembelian saham MAS -AirAsia ini, kerajaan harus menjelaskan berapa liabiliti kedua-dua syarikat tersebut.

Rakyat perlu mendapat maklumat syarikat mana yang mempunyai liabiliti lebih besar, katanya.

Mahfuz berkata MAS suatu ketika dahulu setaraf dengan Singapore Airline, Cathay Pasific dan Etihad, tetapi kini syarikat berkenaan didakwa menanggung kerugian dan tidak dapat bersaing maju.

Bagaimanapun, beliau berkata lebih menyedihkan apabila perpindahan hak milik rakyat kepada Tajudin yang didakwanya menyebabkan MAS kerugian RM8 bilion dan tidak dipertanggungjawab atas kerugian tersebut.

Tiada siapa yang dipertanggungjawab atas segala kecurian sebanyak RM8 bilion, walapun pada peringkat awal sebelum itu ada usaha untuk mengheret Tajudin Ramli ke mahkamah, katanya.

Tetapi sekarang sudah ada keputusan untuk menyelesaikan atau menarik balik kes terhadap Tajudin Ramli daripada GLC-GLC yang terlibat, katanya lagi.

Baru-baru ini MAS dan AirAsia memeterai rangka kerja kerjasama komprehensif (CCF) untuk meneroka peluang sinergi dalam pelbagai bidang di bawah sektor penerbangan.

Di bawah perjanjian tersebut, Tune Air Sdn Bhd, pemegang saham terbesar dalam AirAsia, akan mengambil-alih 20.5 peratus saham dalam MAS manakala Kazanah Nasional Berhad pula akan memiliki pegangan 10 peratus saham AirAsia dan terus menjadi pemegang saham utama dan tunggal terbesar MAS.

Tiada ulasan: