Sabtu, 6 Ogos 2011

245,376 Pati didaftar sehingga hari ini

BERNAMA

Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa pendaftaran dibuat melalui 197 pejabat Imigresen dan 1,934 kaunter pendaftaran yang dikendalikan oleh 336 syarikat pengurus.



PUTRAJAYA: Seramai 245,376 pendatang asing tanpa izin (Pati) telah didaftar sehingga tengah hari hari ini sejak hari pertama pendaftaran Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) bermula Isnin lepas.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa pendaftaran dibuat melalui 197 pejabat Imigresen dan 1,934 kaunter pendaftaran yang dikendalikan oleh 336 syarikat pengurus.

Berdasarkan pecahan mengikut negeri, Selangor mencatatkan bilangan pendaftaran paling tinggi dengan 79,855 orang, diikuti Kuala Lumpur (54,041), Johor (31,060), Pulau Pinang (18,278), Perak (13,358), Pahang (12,218), Putrajaya (11,641), Negeri Sembilan (9,146), Kedah (7,738), Melaka (3,981), Kelantan (1,690), Terengganu (1,557), Perlis (648) dan Labuan (255).

Mengenai aduan syarikat pengurus yang mendakwa gagal beroperasi akibat masalah teknikal, Alwi berkata kementerian mengenal pasti antara lainnya berpunca daripada komputer milik syarikat pengurus yang menggunakan sistem operasi tidak sepadan berbanding keperluan perisian yang digunakan bagi pendaftaran program itu.

Selaraskan sistem operasi

Beliau meminta syarikat yang berhadapan masalah itu supaya menyelaraskan sistem operasi komputer masing-masing.

Alwi berkata bermula semalam, lebih 100 kakitangan teknologi maklumat di kementerian telah diarah turun ke lapangan untuk memantau operasi syarikat pengurus dan membantu menangani masalah teknikal, jika masih ada.

“Contohnya masalah berkaitan installation atau masalah memuat naik data,” katanya.

Beliau berkata jika terdapat sebarang aduan atau masalah yang dihadapi, pihak yang berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan KDN di talian 03-8886 8110/8112.


Tiada ulasan: