Ahad, 19 Jun 2011

MCA yakin ahli parti tidak akan sertai BERSIH 2.0

BERNAMA


KUANTAN: MCA percaya ahli parti itu tidak akan menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 yang dirancang 9 Julai depan, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Liow berkata, beliau sudah mengarahkan ahli parti supaya tidak menyertai perhimpunan itu kerana ia tidak memberi sebarang manfaat malah ia berbaur politik kotor pembangkang semata-mata.

"Kita perlu terangkan bahawa adanya motif politik di sebalik perhimpunan BERSIH ini... mereka cuba gunakan perhimpunan ini untuk menaikkan emosi rakyat supaya membenci kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat MCA Bahagian Kuantan di sini hari ini.

Penganjur perhimpunan menuntut pilihan raya lebih bersih dan adil termasuk pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media bebas dan adil semasa pilihan raya.

Liow berkata, sekiranya ada ahli MCA didapati terbabit menyertai perhimpunan tersebut, tindakan di peringkat parti akan diambil.

"Kita boleh ambil tindakan mengikut peraturan dalam parti," katanya.

Beliau berkata, nasihat yang sama turut diberikan kepada rakyat di seluruh negara supaya tidak membabitka diri dalam perhimpunan itu.

Tiada ulasan: