Jumaat, 3 Jun 2011

Keputusan rasmi pemilihan PAS dijangka 10 pagi esok

THE MALAYSIAN INSIDER

GOMBAK — PAS dijangka mengumumkan keputusan rasmi pemilihan jawatan pusat sekitar 10 pagi esok, demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman petang ini.

Pengundian bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden dan ahli jawatankuasa kerja pusat bagi sesi 2011-2013 bermula pukul 4 petang tadi.

Ia dijangka mengambil masa kira-kira tiga jam untuk selesai dan diteruskan dengan proses pengiraan undi.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah pun menang tanpa bertanding bagi penggal kelima berturut-turut.

Dalam taklimat diberikan sebelum proses pengundian, kata beliau, buat julung kalinya juga, proses penjumlahan undi akan dicatat dalam borang 14 seperti yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita telus (dalam pemilihan kali ini). Pemerhati dan wakil calon bagi timbalan presiden dan naib presiden akan hadir masa pengiraan dan penjumlahan undi dicatat dalam borang 14 macam SPR, dan ditandatangani pemerhati calon yang hadir,” katanya dipetik Bernama Online.

Abdul Halim berkata mengikut Fasal 18(2) perlembagaan parti, anggota muktamar yang layak mengundi terdiri daripada pengerusi dan timbalan pengerusi tetap (2), anggota majlis syura, anggota jawatankuasa PAS Pusat dan Pesuruhjaya Negeri (52), wakil daripada Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat (masing-masing 20) dan Yang Dipertua Dewan kawasan yang dilantik semasa mesyuarat agung (963).

Jawatan timbalan presiden menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan anggota jawatankuasa PAS pusat Mohamad Sabu.

Tiga jawatan Naib Presiden pula membabitkan Exco Kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa dan Datuk Nik Mohd Amar Abdullah; Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad; dua Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub; serta pemimpin PAS Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sebanyak 53 calon pula telah mengesahkan bertanding bagi merebut 18 jawatan ahli jawatankuasa kerja pusat.

Tiada ulasan: