Jumaat, 3 Jun 2011

Hadi: PAS mesti ketuai usaha bersihkan negara dari politik fitnah Umno

TERKINI

GOMBAK — PAS menggesa ahli-ahlinya agar mengambil tindakan “membersihkan politik” negara ini daripada perilaku dan gejala politik jijik fitnah dan perkauman sempit dibawa Umno-BN, dan komponen Pakatan Rakyat (PR) itu perlu memainkan peranan utama ke arah itu.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, PAS mesti mengambil peranan utama dalam menjayakan usaha murni itu demi menamatkan fahaman dan amalan politik “matlamat menghalalkan cara” seolah-olah politik adalah bebas dari ketentuan dan bimbingan syariat Allah SWT.

“Marilah kita memurni dan membersihkan siyasah atau politik sebagai satu bidang dan juzu penting dalam kehidupan umat Islam khasnya, dan rakyat seluruh rakyat amnya, dengan membersihkan bidang politik dari perilaku dan gejala politik jijik, fitnah dan perkauman sempit yang diamalkan Umno-BN di waktu ini.

“PAS mesti mengambil peranan utama dalam menjayakan usaha murni ini untuk menamatkan fahaman dan amalan politik matlamat menghalalkan cara seolah-olah politik adalah bebas dari ketentuan dan bimbingan syariat Allah,” kata beliau dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS Ke-57 hari ini.

Hadi yang mempertahankan kedudukannya tanpa saingan berkata, PAS yang berusia lebih enam dekad, telah berjaya mengurangkan suara ajaran sesat yang mempengaruhi orang Melayu Islam, bahawa politik tidak ada hubungan dengan agama Islam.

Katanya, ajaran sesat ini telah melahirkan pemimpin Melayu yang tidak ada perhitungan agama dalam amalan politik mentadbir negara, seterusnya berlaku khianat dalam memimpin rakyat dan mengurus sumber negara yang melimpah ruah.

“Walaupun kini ramai di kalangan orang Melayu Islam telah menerima politik sebahagian dari agama, tetapi tindakan politik mutakhir ini telah dibejati oleh amalan-amalan yang tidak mengikut batas agama dan syariat,” katanya.

Pemimpin dari Terengganu ini menambah, kemurnian politik telah dicemari oleh tindakan jijik menerusi rasuah politik wang, fitnah, sikap perkauman sempit, pembohongan, dan segala macam perkara kotor yang “memalukan anak-anak yang menjadi penonton di sekeliling kita.”

Tegas beliau, politik seperti itu perlu dimurnikan, dan sudah tentunya Umno-BN akan gagal untuk membersihkan politik yang dikotorkan oleh tangan mereka sendiri.

“Pemimpin Melayu Islam yang membebalkan majoriti rakyat beragama Islam dan tidak boleh menjadi model Islam yang sebenar kepada rakyat bukan Islam, kerana dijangkiti keruntuhan moral dan zalim, rasuah dan menyalahgunakan kuasa, sehingga tidak menunaikan amanah besar yang diwajibkan oleh Islam kepada penganutnya,” katanya.

Ahli Parlimen Marang ini menambah, dalam pentas politik negara, Umno merupakan parti majoriti Melayu dan Bumiputera yang telah diberi amanah pemerintahan sejak keluarnya penjajah asing, tetapi telah dibarahi penyakit warisan penjajah yang memisahkan amanah ini daripada perhitungan agama.

“Akibatnya amanah yang besar ini dijadikan peluang kebendaan yang menyuburkan perbuatan rasuah dan khianat. Akhirnya, harta negara menjadi milikan peribadi pemimpin mereka, meninggalkan rakyat berhempas pulas untuk melangsungkan kehidupan di dunia ini,” kata beliau.

Menurut Hadi, “inilah yang terus-menerus berlaku apabila urus tadbir dan tata kelola pengurusan sumber dan khazanah kekayaan negara tidak mengambil dan merujuk kepada falsafah dan jauh sekali menghayati tuntutan Islam.”

“Cita-cita murni untuk membina sebuah negara yang sejahtera dan aman telah digagalkan oleh sebuah pemerintahan yang terus memimpin secara tidak bertanggungjawab,” katanya.

Tiada ulasan: