Rabu, 8 Jun 2011

Isu Green Lane : Khalid Bimbang Keselamatan Pengusaha

Ditulis oleh Nur Atiqah Abd Samad


SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu sebarang tragedi menimpa pengusaha tapak semaian "Greenlane" di Sungai Buloh setelah mereka di pindahkan ke situ oleh kerajaan Umno-BN yang lalu, meskipun kawasan berkenaan mempunyai dua batang paip utama air bertekanan tinggi.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata lokasi dua paip utama itu yang membekalkan air kepada sejuta pengguna menjadikan kawasan berkenaan berisiko tinggi untuk sebarang aktiviti.
Kerajaan Umno-BN yang lalu gagal mewartakan tanah yang diguna untuk menempatkan dua paip utama bertekanan tinggi itu, sebalikknya memindahkan 50 pengusaha tapak semaian ke lokasi berkenaan pada tahun 1999. Ini untuk membolehkan pembinaan Hospital Sungei Buloh di tapak asal perniagaan mereka.
Tan Sri Khalid berkata kerajaan negeri sekarang tidak mahu sebarang tragedi menimpa pengusaha tapak semaian di lokasi berisiko tinggi itu susulan kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa 16 anak yatim di Hulu Langat bulan lalu.
Khalid menegaskan kerajaan negeri tidak berniat menyekat atau mengganggu pengusaha berkenaan tetapi aspek keselamatan adalah lebih penting dan perlu diatasi.
"Perkara ini(Perpindahan pengusaha tapak semaian) sudah dibuat begitu lama tetapi dibiarkan sahaja," kata Khalid selepas mempegerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri.
"Kalau kita tak nak perkara seperti yang terjadi di Hulu Langat itu, (dan) kita biarkan mereka tinggal di sana, kerajaan negeri akan dipersalahkan apabila berlaku sebarang kemalangan dan kecemasan," tambah Khalid."
Khalid berkata maklumat bagaimana pengusaha berkenaan boleh berniaga di atas lokasi dua paip utama bekalan air di Lembah Kelang adalah penting.
Kerajaan negeri lalu melakukan kesilapan besar apabila membenarkan aktiviti perniagaan dijalankan di atas tapak seluas 20 ekar, meskipun menyedari kedudukan paip berkenaan, tambah beliau.
Jelas Khalid kerajaan negeri Pakatan Rakyat mempunyai tanggungjawab menggalas mandat yang diberikan oleh rakyat secara bertanggungjawab.
Dalam keadaan sekarang, Khalid berkata, yang jelas ialah masalah pengusaha tapak semaian itu diwarisi daripada satu lagi kesilapan kerajaan Umno-BN yang lalu.
Beliau menegaskan orang ramai perlu tahu latar belakang isu itu supaya "jika berlaku krisis, saya tidak mahu mereka anggap kerajaan negeri tidak pandai menguruskan pentadbiran negeri," tambah beliau.
Khalid berkata kerajaan negeri tetap akan berusaha untuk mencari penyelesaian yang adil terhadap isu berkenaan.
Semalam kerajaan negeri mengadakan perjumpaan bersama pengusaha tapak semaian bersabit permohonan mereka untuk mendapatkan lesen TOL bagi memiliki tapak itu. Yayasan Selangor turut menuntut TOL untuk menguruskan tapak berkenaan.
Diakhir perjumpaan itu, Menteri Besar memutuskan untuk menolak permohonan TOL Yayasan Selangor dan pengusaha berkenaan.
Walau bagaimanapun, beliau prihatin dengan kebajikan lebih 60 pengusaha tapak semaian Sugai Buloh yang juga dikenali sebagai “Green Lane” dan berjanji sebarang langkah yang bakal diambil tidak akan menjejaskan menjejaskan perniagaan mereka.

Tiada ulasan: