Jumaat, 10 Jun 2011

Filem Kongsi dan KL Gangster jatuh imej Melayu, dakwa Pekida


KUALA LUMPUR— Di sebalik kutipan pecah panggung, sebuah pertubuhan Melayu mendakwa filem “Kongsi” arahan Farid Kamil Zahari mencemarkan imej orang Melayu dengan memaparkan adegan yang mencerminkan seolah-olah kaum terbesar itu terlibat dalam aktiviti gengsterisme.

Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Wilayah Persekutuan juga menyifatkan filem KL Gangster yang mula ditayangkan pada 9 Jun lalu turut mempunyai unsur-unsur merendahkan martabat orang Melayu selain boleh mempengaruhi golongan muda.

Filem Kongsi dan KL Gangster ini seolah-olah mencemar imej orang Melayu dengan memaparkan orang Melayu ini adalah gengster, malah banyak adegan-adegan yang dipaparkan secara tidak langsung merendahkan martabat kita.

“Banyak adegan-adegan dalam kedua-dua filem ini mencemarkan imej orang Melayu dan boleh mempengaruhi remaja, malah bahasa-bahasa yang digunakan dalam filem ini tidak boleh diterima sebab menggunakan bahasa kesat,” kata Ketua Ahli Majlis Pekida Wilayah Persekutuan Norashikin Abdul Ghani kepada The Malaysian Insider.

Tegas Norashikin, beliau pelik bagaimana filem yang mengandungi unsur ganas dan gengsterisme ini tidak ditapis oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

“Bagaimana filem yang mencemarkan imej orang Melayu, ganas dan gengsterism boleh tidak ditapis oleh Lembaga Penapisan Filem? Saya telah menonton kedua-dua filem ini dan banyak adegan yang tidak sepatutnya ditayangkan selain bahasa-bahasa yang digunakan.

“Kenapa Lembaga Penapisan Filem tidak tapis filem-filem ini? Orang Melayu bukan gengster tapi dalam filem ini menunjukkan sebaliknya,” katanya.

Jelas beliau, pertemuan diadakan dengan pengurusan LPF petang ini bagi membincangkan perkara itu.

“Kami mahu Lembaga Penapisan Filem mengambil tindakan segera, mana-mana bahagian yang tidak sepatutnya ditayangkan dipotong.

“Selain itu, kami juga mahu Lembaga Penapisan Filem memberi penjelasan berhubung pelepasan kedua-dua filem itu tanpa ditapis,” katanya.

Selain itu, tegas Norashikin, filem “Kongsi” yang berjaya mengutip sebanyak RM8 juta selepas tiga minggu ditayangkan sejak 12 Mei lalu turut menggunakan kata kunci Pekida.

Jelas beliau, kata kunci Pekida tidak sepatutnya digunakan dalam filem memandangkan ia adalah rahsia.

“Kami melihat filem Kongsi dan yang terbaru ini KL Gangster telah melampaui batas apabila menggunakan kata laluan dan kod rahsia Pekida.

“Mereka juga telah membuka banyak rahsia Pekida dengan menerbitkan filem bercorak gengster yang sebenarnya hanya memalukan dan menjatuhkan martabat orang Melayu sendiri,” katanya.

Tambah beliau, pengarah kedua-dua filem ini iaitu Farid Kamil dan Syamsul Yusof tidak sensitif apabila mengaitkan orang Melayu dengan kumpulan gengster.

“Saya kecewa kerana kedua-dua pengarah iaitu Farid Kamil dan Syamsul Yusof tidak sensitif dengan perkara ini. Jika mereka mahu menghasilkan filem seumpama itu, mereka harus meminta nasihat kami terlebih dahulu.

“Mereka seperti mempermainkan perjuangan pertubuhan ini dan tidak menghormati kami sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO). Kami sedar ramai yang masih tidak tahu perjuangan Pekida namun mereka seharusnya ada rasa hormat,” ujarnya kesal.

Tiada ulasan: