Selasa, 21 Jun 2011

Anwar desak tarif elektrik ditangguh, perjanjian PPA disemak

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi desakan supaya kerajaan menangguhkan kenaikan tarif elektrik dan mengkaji semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan penjana Tenaga Bebas (IPP).

Menurut Anwar, kenaikan tarif elektrik bukan sahaja melibatkan kenaikan bil penggunaan, tetapi juga kenaikan kos pengeluaran dan harga barangan pengguna.

“Begitu juga kenaikan harga disel akibat penarikan subsidi baru-baru ini yang merupakan nadi pengeluaran dan pengedaran (barangan),” kata Anwar ketika perbahasan Belanjawan Tambahan Pertama 2011 di parlimen hari ini.

Ketika perbahasan tersebut, Anwar mendedahkan bahawa semasa mengetuai kementerian Kewangan, beliau tidak bersetuju cadangan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi mewujudkan IPP.

Menurutnya, beliau bersetuju dengan pandangan Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Tan Sri Clifford Herbert bahawa syarat perjanjian itu tidak adil dan EPU diarahkannya untuk mengkaji semula keputusan tersebut.

Katanya, TNB yang merupakan ‘pembeli’ terpaksa menghentikan operasi mereka untuk memberi laluan kepada ‘pembekal’, iaitu IPP untuk menjana tenaga pada kadar kapasiti penuh, termasuk rizab 40 peratus yang dianggap tidak munasabah.

“TNB menyatakan EPU pada ketika itu memaksanya untuk bersetuju dengan harga jualan tenaga kepada IPP. Ia dibantah kerana TNB menyatakan bahawa mereka berkeupayaan untuk menjana tenaga dengan lebih murah dan efisyen.

“Petronas diminta menjual tenaga kepada IPP khususnya YTL dengan harga yang murah, dan YTL menjual kepada TNB dengan harga yang mahal. Petronas dan TNB membantah perkara ini kerana merugikan wang Petronas dan negara,” jelas Anwar

Peningkatan 15 peratus belanjawan

Dalam pada itu Anwar berkata, belanjawan tambahan berjumlah RM 13.2 bilion yang digunakan hanya selepas tiga bulan pusingan belanjawan, menunjukkan bahawa tidak mustahil peningkatan 15 peratus belanjawan menjelang akhir tahun.

“Ini menimbulkan tanda tanya berhubung keupayaan negara untuk merangka belanjawan negara. Sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab terhadap rakyatnya mestilah mentadbir secara cekap, berwibawa dan demokratik.

Peningkatan peratusan hutang negara dari KDNK pada kadar 54 peratus menunjukkan Malaysia tidak boleh mengambil risiko kehilangan keyakinan pelabur terutamanya dan bon kerajaan.

“Peningkatan perbelanjaan belanjawan berlaku akibat dari tindak balas pergerakan harga komoditi yang buruk. Namun, anehnya adalah peningkatan emolumen sebanyak 5 peratus, sedangkan ia sepatutnya mudah untuk diunjurkan,”

“Saya khuatir kegagalan kerajaan untuk membuat unjuran tepat tidak berupaya menjelaskan belanjawan dan lemah dalam mengurus ekonomi. Kita perlu mengambil iktibar dari kegagalan negara akibat kecuaian pengurusan dan memutarbelit angka petunjuk ekonomi seperti yang berlaku di Greece,” hujah Anwar.

Tiada ulasan: