Sabtu, 21 Mei 2011

Usaha haram KEADILAN, konspirasi sebelum pilihan raya- Tian Chua

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, wujud konspirasi yang dilakukan kerajaan Umno-BN untuk mengharamkan KEADILAN, sebelum tarikh pilihan raya yang dijangka diadakan tahun ini.

Menurut Tian Chua, beliau yakin arahan itu datangnya dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan menggunakan peranan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Dalam isu pengharaman ini, yang merancang dan beri arahan adalah Kementerian Dalam Negeri (KDN), ROS nampaknya hanya menantikan kesempatan untuk tindakan membatalkan pendaftaran KEADILAN.

“Kita menjangkakan pilihan raya pada tahun ini, dengan cara ini ROS sempat membatalkan pendaftaran sebelum pilihan raya. Ini merupakan satu konspirasi peringkat tertinggi bagi mengharamkan KEADILAN,” ujar Tian kepada Keadilandaily.com.

Semalam, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution mendedahkan surat tunjuk sebab yang diterima daripada ROS, kononnya parti itu telah melanggar salah satu fasal dalam perlembagaannya.

ROS memberi alasan KEADILAN melanggar fasal 32.2.1 Undang-undang berdaftar parti dengan merujuk pemecatan Rajagopal a/l Andaikalam pada 2009.

Namun, Saifuddin berkata fasal berkenaan tidak wujud, malah sebab yang dinyatakan itu juga tidak boleh dijadikan asas bagi pengharaman KEADILAN.

Pihak Pendaftar Pertubuhan turut melakukan kesalahan kerana rekod parti menunjukkan bahawa nama individu yang dinyatakan sebenarnya adalah Jayagopal a/l Andaikallam.

“Surat tunjuk sebab yang diberikan adalah tindakan yang agak serius, surat yang mereka keluarkan adalah tergesa-gesa dengan maklumat yang tidak betul, nama yang salah, tarikh pemecatan ahli yang juga salah, seolah-olah ROS sedang mengejar masa,” ujar Tian Chua.

Menurut Tian Chua, KEADILAN tidak akan bertolak ansur dengan usaha yang dilakukan kerajaan menerusi KDN untuk membatalkan parti itu.

“Kita beri amaran kepada KDN, kita tidak akan bertolak ansur dan mengambil sikap berlembut. Bukan sahaja mengikut saluran untuk memfailkan kes ini tetapi juga mengambil tindakan seperti perhimpunan besar-besaran oleh penyokong dan orang awam.

“Kerana ini bukan sahaja isu pembatalan satu parti sahaja, tetapi menyentuh prinsip demokrasi di mana parti-parti politik sepatutnya dibenarkan bertanding secara bebas dalam sebuah negara demokrasi,’ tegas Tian Chua.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyelar kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang seolah-olah merestui tindakan ROS.

“Muhyiddin cuba memberi gambaran bahawa ROS mempunyai kuasa yang besar untuk mengharamkan KEADILAN,” ujarnya.

Ditanya mengenai kenyataan Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman bahawa KEADILAN perlu mengikut saluran dan tidak menggunakan media untuk memberi jawapan, Tian melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan itu.

“Kita disiasat dan diberi arahan untuk memberikan alasan dalam surat tunjuk sebab, jadi memang perlu kita memberikan maklumat kepada ahli menerusi media. Bagaimana jika tiba-tiba parti ini diharamkan,” soal Tian Chua.

Tiada ulasan: