Setelah fitnah video seks ternyata gagal mencapai matlamatnya maka isu yang berbaur agama direkacipta untuk memperdaya orang Melayu supaya kembali menyokong mereka.
PETALING JAYA: Selepas isu sumpah laknat dan tayangan video seks oleh trio Datuk ‘T’ memakan diri Umno maka dicipta pula isu agama untuk memperdaya orang Melayu supaya kembali menyokong mereka.
“Fitnah video seks ternyata gagal mencapai matlamatnya maka isu yang berbaur agama kini direkacipta,” kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Ahmad Kasim.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah berkata demikian ketika mengulas tajuk muka hadapan akhbar milik Umno Utusan Malaysia pada 7 Mei 2011 “Kristian Agama Rasmi”.
Tajuk tersebut katanya, secara terang-terangan cuba menimbulkan provokasi terhadap hubungan masyarakat pelbagai agama di negara ini.
“Hakikatnya sentimen agama digunakan untuk melaga-lagakan penyokong Pakatan Rakyat melalui congak politik kuno mereka,”katanya dalam satu kenyataan media petang ini.
Ahmad Kasim berkata, selepas melontar berita palsu, siri laporan polis oleh badut-badut Umno-Barisan Nasional (BN) pula direncana untuk menunjukkan bahawa merekalah jaguh mempertahankan maruah orang Melayu dan Islam.
Umno gagal martabatkan Islam
Menurutnya, setelah setengah abad diberi amanah mentadbir negara, Umno-BN sebenarnya telah gagal untuk memartabat dan memastikan kecemerlangan Islam sebagai agama rasmi. Nilai-nilai agama dalam masyarakat langsung tidak diberi perhatian.
“Sekolah Agama Rakyat dipinggirkan. Gerakan dakwah dinafikan hak untuk memanfaatkan institusi agama seperti masjid dan surau.
“Jabatan-jabatan agama dijumudkan untuk kepentingan politik sempit mereka sahaja. Akhir jenayah sosial di kalangan generasi muda Islam gagal dibendung,” tambahnya.
Beliau berkata, PKR ingin menegaskan bahawa Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sepakat untuk mempertahankan empat perkara pokok dalam Perlembagaan Malaysia.
Pertama, Islam sebagai agama rasmi Persekutuan manakala agama-agama lain bebas diamalkan dengan aman. Kedua, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Persekutuan, ketiga, hak-hak istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputera dan keempat, kedaulatan Raja -Raja Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan