ROKET KINI.COM
Sekarang DAP, dengan bantuan internet, telah dilihat sebagai sebuah parti pelbagai kaum. Walau pun sememangnya semenjak penubuhan DAP 45 tahun lalu, slogan perjuangannya adalah Malaysia Untuk Rakyat Malaysia atau Malaysian Malaysia. Mainan media Umno selama ini bahawa DAP sebagai parti untuk kaum Cina telah terhapus. Jadi apa pandangan saudari dengan adanya Roketkini berbahasa Malaysia?
Ya, ramai yang tak nampak, sebenarnya kita sudah ada akhbar Rocket dalam pelbagai bahasa sejak 1966 lagi. Mungkin kerana pembaca tak berapa banyak dan kami juga bagi secara percuma kepada Adun yang ingin menyimpan saja. Sebenarnya bukan kami tak mahu buat tapi kadang-kadang kesuntukan dana yang dihadapi parti kita, kerana parti kita bukan macam MCA, MIC, UMNO, ada tauke besar, ada dana, ada syarikat, yayasan semua itu untuk membantu mereka.
Tapi orang Melayu tak nampak pendirian DAP.
Dulu akhbar-akhbar bahasa Cina bagi ruang kepada DAP untuk keluarkan kenyataan kami, tetapi bagi orang yang baca Utusan Malaysia atau akhbar-akhbar Melayu lain, apa yang mereka baca berbentuk laporan negatif. Tapi sejak reformasi 1998, sehingga kemunculan media baru, orang ramai semakin sedar tentang pendirian DAP mengenai isu-isu semasa, termasuk kaum Melayu.
Jadi, adakah melalui Facebook orang dah nampak DAP sebagai parti berbilang bangsa?
Ya. Sebab sejak bermulanya laman web DAP, rencana-rencana yang ada adalah dalam bahasa Inggeris. Bagi yang Melayu berpendidikan Inggeris, mereka tahulah. Ya, kami akui ini tidak cukup membantu. Jadi, inilah masanya untuk DAP mewujudkan web dalam bahasa Malaysia. Saya rasa kalau kita keluarkan akhbar parti dalam bahasa Malaysia memang kita telah buat macam Roket edisi bahasa Malaysia, tapi ia memang tak luas diedarkan sebab ia perlukan wang yang banyak. Ini satu, bila kita ada website Roketkini, ia adalah cara yang bagus bagi mereka yang fasih bahasa Malaysia.
Boleh saudari terangkan kelemahan DAP yang ada selain daripada kita ini kurang akhbar BM untuk diedar? Seperti kenyataan media pemimpin DAP, kurang dikeluarkan kenyataan media berbahasa Malaysia.
Sebenarnya bukan kami tak mahu keluarkan kenyataan media dalam bahasa Malaysia tetapi kebanyakannya tak disiar dalam akhbar berbahasa Malaysia, dan itu sebabnya kami buat dalam bahasa Cina dan bahasa Inggeris. Saya selalu lihat ucapan dalam Parlimen, dalam bahasa apa-apa pun walau pun bahasa Malaysia, macam berapa hari lepas saya keluarkan kenyataan isu Kristian sebagai agama rasmi itu, tapi ia tak keluar dalam mana-mana akhbar. Ini agak mengecewakan kami untuk keluar kenyataan media dalam bahasa Malaysia tapi saya fikir dengan adanya website Roketkini, senanglah sekurang-kurangnya kenyataan dalam bahasa Malaysia akan disiarkan dalam Roketkini dan mungkin akan dipetik akhbar lain.
Jadi, bagaimana kita nak tonjolkan kepada orang-orang ini? Macam saudari cakap tadi, seperti melalui laman web dan akhbar, apa lagi cari untuk DAP tonjolkan pendirian?
Kita patut anjurkan ceramah, acara-acara dalam bahasa Malaysia bersama parti lain dalam Pakatan Rakyat kerana kita mesti terima satu hakikat, bagi DAP untuk masuk kampung Melayu buat program, kita mungkin semacam akan ada halangan. Sama juga dengan PAS nak buat sambutan Tahun Baru Cina, mereka perlukan bantuan DAP untuk datang bersama. Jadi memang penting kerjsama aktiviti bersama PAS dan PKR supaya sentiasa eratkan lagi hubungan kita bersama rakyat. Misalnya isu Utusan Malaysia main isu agama Kristian baru-baru ini. Saya terima SMS dari rakan dari PAS, mereka nak anjurkan kempen untuk respon balik kepada Utusan Malaysia, jadi saya keluarkan peruntukkan untuk mereka buatkan kempen itu kerana keadaan sekarang ialah satu-satu parti politik tak boleh menerajui kepimpinan secara sendirilah. PKR tak boleh, PAS tak boleh sendirian. Jadi kita mesti bergabung kuasa dengan parti politik lain. Kalau satu parti jatuh, semua akan jatuh. Jadi, bila satu parti hadapi masalah, parti-parti kawan patut tolong.
Kita tahu pemimpin DAP kebanyakannya penguasaan bahasa mereka masih lemah dan kita faham itu. Jadi, apakah kalau boleh mereka sendiri cari lebih bantuan, kalau boleh juga dalam isu-isu bersifat tempatan, kalau boleh guna dalam bahasa Malaysia juga?
Betul kita perlukan penterjemah dalam parti kita. Kamu tengok, seorang pemimpin begitu sebuk, bila dia tulis satu artikel perlukan sejam lebih, kemudian untuk bahasa lain pula jadi akan makan masa lagi.
Jadi, selain pasal ceramah, terjemahan. Apa lagi saudari rasa penonjolan DAP ini ada kelemahan? Contohnya sepanduk dan kain rentang? Sepanduk DAP patutkah hanya ada bahasa Cina saja atau ada usaha untuk dwibahasa? Mungkin untuk sesetengah pemimpin, tapi untuk seluruh negara, adakah saudari nampak?
Memang, untuk sepanduk memang kita ada dwibahasa. Kita mesti faham khususnya dalam negeri yang kita jadi kerajaan, kita memang ada pelbagai etnik, khususya dalam cawangan dan bahagian. Jadi kalau guna bahasa Cina saja, kaum lain tak faham.
Bagaimana pula langkah dan pendekatan DAP untuk selesaikan perkara-perkara ini?
Kita harus tonjolkan usaha yang telah dilakukan wakil rakyat DAP. Khususnya pada 2008 dulu kami tak pernah masuk masjid, tak pernah meraikan perayaan hari raya, buka puasa dan sebagainya. Tapi bila masuk (masjid), tengok (Ahli Parlimen Serdang) Teo Nie Ching masuk. Dituduh tak pakai tudung lah tak tutup aurat lah. Jadi bagi saya, pada bulan Ramadan, saya tak masuk ke dalam masjid, saya kena pakai baju melayu, kerana sekarang ini kita menghadapi politik lawan yang putar belit isu kita. Jadi, program yang baik kita anjurkan untuk tolong fakir miskin Melayu pada Ramadan dijadikan isu, jadi banyak diputar belit.
Maksud saudari, DAP perlu kreatif mendekati orang? Maksudnya orang yang luar dari kita punya kepompong kita lah? Macam perayaan Hari Ibu atau apa-apa perayaan lain, supaya mereka saling memahami masyarakat lain lah?
Ya. Mereka boleh bergaul. Kita kena adakan majlis yang lebih untuk campur bergaul bersamalah. Walau pun saya bagi banyak peruntukan kepada orang Melayu dan India selalunya bila saya buat program berbuka puasa, hanya Melayu saja yang datang, bukan semua Melayu datang, cuma yang berada dalam kelompok surau saja yang datang.
Kenapa tak datang? Takut? Program berunsur politik?
Bukan semua tak mau datang sebab takut. Sudah jadi kerajaan (Selangor) kenapa takut? Ini UMNO tak mau datang. Kami selalu pasang sepanduk menjemput tapi segelintir tak datang. Sama juga Deepavali, hanya kaum India saja yang datang. Jadi, kita kena ada lebih program, macam saya sebut tadi kita perlu aktiviti yang boleh bergaul sama.
Setakat ini, sudah tiga tahun (Pakatan di Selangor dan negeri-negeri lain) memerintah, apa respon masyarakat?
Responnya baik. Tapi masalahnya bila Utusan Malaysia buat kacau, blogger yang bangkitkan isu agama dan perkauman, kami rasa agak tergugat dan susah untuk beri penerangan sebab tak ada saluran. Dan saya juga agak kecewa tentang pihak kerajaan pusat dalam isu yang dimain Utusan, Ketua Pengarang itu hanya diberi amaran saja. Ya, hanya amaran saja. Kalau ini berlaku pada akhbar Cina, atau The Star atau akhbar lain, sudah pun disumbat ke dalam ISA atau sudah didakwa. Jadi ini double standard, siapa yang wujudkan jadikan ketegangan ini? Barisan Nasional.
Tentang kemunculan Roketkini, apa pandangan saudari mengenai peranan media DAP dalam usaha untuk mendekati semua kaum?
Saya rasa ini pendekatan yang penting khususnya kaum muda Melayu yang aktif dalam arena internet. Sebenarnya kita sudah keluar kenyataan dalam bahasa Inggeris. Jadi, dengan adanya Roketkini kita boleh ada hubungan rapat dengan mereka. Mungkin juga hubungan yang rapat dengan akar umbi.
Apakah pendapat saudari tentang cara untuk mengarusperdanakan DAP?
Kita kena keluar lebih kerap. Macam akhbar Selangor Times, secara mingguan baru orang baca dan kita perlu lebih sokongan dan dana untuk sokong percetakan kita lah.
Apa visi yang saudari nampak tentang Roketkini bahasa Malaysia ini?
Saya harap pimpinan kita boleh heboh-hebohkan Roketkini sama ada dalam bentuk cetakan atau internet. Kita boleh kedepankan mesej kita ini kepada orang ramai. Sekarang dah ramai ada Facebook, jadi kita boleh mendekati lebih ramai pembaca kaum melayu. Saya memang mengalu-alukan usaha ini kerana saya rasa sudah tiba masa bagi DAP untuk mendekati semua bangsa. Kita mesti terima satu hakikat, ialah sekarang ramai orang Cina, bagi orang Cina yang bahasa Cinanya juga teruk, jadi mereka boleh baca dalam bahasa Malaysia, begitu juga orang India yang bahasa Tamil mereka teruk, mereka juga boleh baca bahasa Malaysia. Sama juga dengan kaum Iban, Kadazan dan lain-lain. Dan saya memang berharap Roketkini ini boleh menjelaskan pendirian DAP dalam banyak isu semasa dan saya berharap kita juga boleh merapatkan hubungan dengan penyokong dan pemimpin PR dan NGO-NGO lain dan semua rakyat Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan