Sabtu, 21 Mei 2011

Said Zahari dan pengkhianatan Utusan Melayu

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN


Sudah lebih setahun saya tidak mendengar khabar berita dan perkembangan Pak Said Zahari, bekas Ketua Pengarang Utusan yang pernah dikurung tanpa bicara selama 17 tahun. Sehinggalah apabila beberapa wartawan di bilik berita Harakah bertanyakan bila akan mengunjungi wartawan veteran yang seringkali dikaitkan dengan peristiwa pemogokan Utusan Melayu 1961, barulah saya tersedar memang agak lama kami tidak bersua muka.

"Cik Lutfi, Pak Said tanya bila nak datang rumah, boleh sembang-sembang?" kata Nyza Ayob. Rakannya, Intan Abdullah menggesa saya mengosongkan aktiviti pada suatu petang: "Dah janji dengan Pak Said ni, Cik Lutfi jangan tak pergi sekali pula."

Pak Said sentiasa menjadi rujukan kami terutama jika timbul isu-isu berkaitan kebebasan media. Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang saya terajui pada awal tahun 2000 -- berikutan tindakan kerajaan mengharamkan beberapa penerbitan berbahasa Melayu selepas pilihan raya umum 1999 -- pernah menganugerahkannya Tokoh Kebebasan Akhbar 2001 sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, 3 Mei.

Menurut rakan-rakan yang selalu menghubungi Pak Said, daripada tutur katanya di hujung talian, ternyata obor semangat beliau tetap membakar; mengalahkan para wartawan muda. Dalam usia 83 tahun, keuzuran memang menganggunya, namun Pak Said tidak pernah menghampakan kami. Komen dan ulasannya walaupun kadangkalanya pendek, tetapi padat, lancar dan begitu "menginspirasikan".

Berbanding beberapa tahun lalu, saya lihat keadaan Pak Said agak lemah. Tetapi ia hanya dari segi kekuatan fizikal dan ini sebenarnya tidaklah jauh beza dengan keadaan saya sendiri. Saya pun masih bertongkat ketika menaiki tangga ke tingkat atas bilik Pak Said di rumahnya, di Subang Jaya itu.

"Saya, Dr Mahathir Mohamad dan Lee Kuan Yew hampir sebaya, cuma mereka masing-masing lebih tua, dua dan empat tahun daripada saya," jelasnya ketika saya membandingkan kesihatan beliau dengan dua tokoh besar itu. Saya pun terasa tua apabila selalu berbicara tentang kesihatan dan penyakit mutakhir ini. Agak ramai teman-teman yang menjadikan saya rujukan sekiranya dilanda penyakit tiga serangkai -- diabetis, kolestrol tinggi, darah tinggi -- yang mempunyai risiko tinggi ke atas jantung dans serangan angin ahmar.

"Mungkin jasad nampak uzur tetapi saya lihat Pak Said, Dr Mahathir dan Kuan Yew masih hebat dari segi pemikiran dan hujah. Tentu ada rahsianya, 'kan?" saya mengusiknya. Saya agak berhati-hati apabila menyinggung nama bekas Perdana Menteri Singapura itu kerana ia akan mengimbas kembali Operation Cold Store pada dinihari 2 Februari 1963, yang memisahkan Pak Said secara kejam dengan anak isterinya, selama lebih 6,000 hari.

Pak Said cuma mengakui beliau mudah penat dan cepat kenyang bila makan. "Bila saya tanyakan doktor tentang masalah kesihatan, dia kata okey saja, tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan .... apa pun doktor sambil senyum mengingatkan saya tentang usia," ceritanya dengan wajah ceria.

"Saya tak memilih makan. Makan seadanya sahaja, mungkin lanjutan tabiat di penjara dulu. Ya ... dalam penjara, apalah sangat hidanganya," kata Pak Said menjawab soalan Intan mengenai rahsia penjagaan kesihatannya.

"Saya pula berbeza, Pak Said," saya memintasnya. "Selepas bypass operation, memang selera makan tak ada, berat jatuh 15kg, tapi lapan bulan kemudian, pantang jumpa ... terasa selera sekali dan sekarang badan naik balik 20kg," saya berterus-terang tentang kelemahan diri.

Masih teringat-ingat nasihat seorang wanita tua Indonesia, dari Surabaya, ketika saya menjalani operasi angioplasti di sebuah pusat perubatan swasta, dekat KLCC, Mac 2010. Beliau menemani anak lelaki sulungnya yang turut mendapat rawatan sama. "Mulut ini jahat betul ... jahat betul kalau tak dikawal. Jaga makan tahu," katanya lembut sambil mohon beredar, "jumpa lagi, ya ... tapi jangan di hospital seperti ini."

Pakar bedah jantung saya kerap berpesan (sebenarnya memberi amaran, tetapi nada suaranya mendatar saja dan ini membuatkan saya seperti "mengambil mudah"), selepas pembedahan kadar bacaan kolestrol mesti turun di bawah empat. Angka kencing manis pula mesti "cantik", jika tidak kerosakan pada buah pinggang lebih cepat merebak.

Pak Said kini membataskan banyak kegiatan hariannya. "Dalam usia sebegini, saya terpaksa lebih memilih untuk hadir mana-mana program yang diundang," ujarnya. Apabila saya bertanyakan lebih terperinci, Pak Said mengaku selain banyak membaca beliau mahu menulis dan mencatat dengan lebih tekun, sekurang-kurangnya sebagai khazanah peninggalannya nanti.

(Terkedu saya. Impian untuk menulis "banyak-banyak", paling kurang tentang pengalaman dalam dunia kewartawanan dan penulisan, belum kesampaian. Buku terbaru yang saya kunyah, Tuesdays with Morrie, kisah hari-hari akhir seorang profesor tua, diharap dapat menyuntik tenaga untuk memulakannya).

Memoir pertamanya, Meniti Lautan Gelora, cukup memikat. Saya membaca dan menghayatinya berulang kali. Ada dorongan luar biasa dalam karya besarnya itu. Memoir keduanya, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah, juga berterus-terang. Allahyarham Prof Nik Anuar Nik Mahmud, pakar sejarah mengulas buku tersebut: "Pembaca akan kagum dengan derita penderitaan keluarga Said Zahari semasa beliau terpenjara. Kita dapat melihat Said Zahari yang berpendirian tegas dan tak tahu erti takut kerana memperjuangkan keadilan dan kebenaran itu, rupa-rupanya masih berperasaan dan beremosi seperti manusia biasa juga ..."

Saya dimaklumkan deraf awal memoir ketiganya "dicuri" orang semasa beliau dan keluarga bercuti di Port Dickson. Yang peliknya, pencuri yang menggeledah rumahnya hanya melarikan laptop yang menyimpan deraf itu. Setiap penulis dapat memahami bagaimana peritnya jika hasil tulisan kita "hilang" begitu sahaja. Untuk mengulangi proses penulisan semula cukup memeritkan dan memerlukan masa untuk "luka di hati" sembuh.

Bersembang dengan Pak Said terasa tidak lengkap jika gagal menyentuh suasana persuratkhabaran di negara ini. "Sekarang saya perhatikan orang sudah tidak bercakap soal kebebasan akhbar, termasuk oleh wartawan sendiri. Kalau dulu, wartawan itu sendiri seorang pejuang, sekurang-kurangnya aktivis. Mereka menulis dengan semangat perjuangan yang kental," tambahnya.

Sekali lagi saya terkedu. Ingatan Pak Said itu seperti menyentuh batang hidung sendiri. KAMI yang diasaskan bagi memansuhkan segala undang-undang yang mengongkong kebebasan berkarya, terutama peraturan "karut-marut" Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP), bagaikan hidup segan mati tak mahu. Ternyata nafas dan stamina KAMI pendek.

Jika mahu mencari daleh, saya meletakkan punca utama kepada "laihnya" komitmen wartawan sendiri untuk membebaskan belenggu itu. Mungkin Pak Said, yang menghabiskan masa muda bertenaganya di dalam tahanan persendirian (solitary confinement) kecewa dengan sikap saya yang mudah mengalah. Beliau ternyata mengidamkan iklim yang kondusif untuk wartawan beroperasi.

"Tapi, ia mesti diperjuangkan, bukannya hanya menunggu dan mengharapkan ...," tegasnya.

Kebetulan semasa kunjungan kami itu, isu Utusan Malaysia memainkan sentimen perkauman dan agama sempit heboh diperkatakan. Sebagai orang lama Utusan, Pak Said mudah diajak berbicara mengenainya. Utusan yang lahir pada 29 Mei 1939, bermula dengan modal yang dikumpulkan dari 542 orang Melayu di Singapura dan Johor, sudah jauh menyimpang.

Utusan kini menjadi alat dan perkakas buat Umno mempertahankan sisa-sisa kuasanya. Itu pun bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi mana-mana akhbar untuk mendokong parti politik tertentu, tetapi berpadalah. Masakan kerana "kekebalan" yang dianugerahkan elit penguasa, Utusan boleh menyiarkan apa jua bahan, tanpa mengira fitnah atau pendustaan, apatah lagi boleh mencetuskan sengketa kaum yang tajam dan pedih. Malah, fungsi Utusan itu sendiri tidak lebih daripada lidah rasmi Umno, cuma ia tidak disekat dengan pelbagai pantang-larang seperti dikenakan KDN kepada organ parti lainnya, contohnya Harakah.

Pak Said merupakan aktor penting semasa peristiwa mogok Utusan, yang bermula pada 20 Julai 1961, selama 93 hari. Umno berhasrat mengambil alih Utusan bukan untuk tujuan perniagaan, tetapi bagi memastikan akhbar itu memihak kepadanya seratus peratus. "Cetakan akhbar Utusan waktu itu tidaklah tinggi tetapi ia cukup berpengaruh kepada orang Melayu. Satu naskhah Utusan mungkin dibaca lebih 100 orang," kata Pak Said.

Dalam buku Akhbar dan Kuasa, Dr Mohd Safar Hasim merakamkan kembali pandangan Pak Said: Sebagai parti kerajaan, Umno tidak mementingkan soal perniagaan tetapi pengaruh Utusan Melayu di kalangan orang Melayu, kerana pembaca Utusan ketika itu 80 peratus daripadanya masyarakat luar bandar. Orang-orang inilah yang menentukan kemenangan besar Perikatan dalam pilihan raya. Sedangkan kepada Utusan Melayu, ia memperjuangkan kepentingan orang Melayu seluruhnya. Umno hanyalah satu kumpulan Melayu, terdapat kumpulan Melayu yang lain dalam PAS, Parti Rakyat dan sebagainya. Bagi Umno, peranan Utusan Melayu sebagai akhbar berpengaruh tidak boleh dibiarkan terus dipimpin oleh orang-orang yang mempunyai tujuan mempertahankan kebebasan akhbar itu.

Kata kunci kepada kekuatan akhbar ialah keupayaannya untuk mempengaruhi, dan ini terletak kepada kewibawaannya. Soalnya, sejauh mana Utusan masih boleh meneruskan misinya sebagai alat propaganda Umno jika tahap kredibilitinya jatuh teruk? Ataupun, daripada sudut berbeza, apakah persepsi kebanyakan masyarakat Melayu kampung misalnya, masih terikat dengan kepompong lama yang dibentuk Utusan?

Cikgu Azmi Abd Hamid, Pengerusi Teras semasa majlis melancarkan KEMBANG (Kempen Membaca Bersama Anggota Masyarakat) menekankan bahawa orang Melayu tidaklah begitu jahil dengan isu-isu yang berlaku, termasuk fakta tentang penyelewengan dan salahlaku pemimpin BN. Masalahnya, kata Cikgu Azmi, adalah pada persepsi orang Melayu. Persepsi lama masih belum dapat dipecahkan.

Perbincangan tentang persepsi ini dan bagaimana sebahagian orang Melayu melihat realiti politik mungkin memerlukan perbahasan lebih mendalam. Kita tangguh dulu, ya?

Tiada ulasan: