SHAH ALAM : Tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) memberi notis memansuhkan PKR tidak ubah seperti 'Pak Turut' yang setia mengikut telunjuk tuannya.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata insiden ROS memberi notis mengugut akan mengharamkan PKR dilihat sebagai kemuncak pemerintahan diktator UMNO-BN terhadap parti pembangkang yang berselindung disebalik alasan teknikal.
"Saya berpendapat mungkin ini diantara strategi oleh pihak UMNO-BN untuk mengunakan salah satu sebab teknikal, semata-mata mahu melunaskan impian membubarkan PKR atas dasar teknikal," kata Johari.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TvSelangor di Ibu Pejabat TvSelangor di Shah Alam.
Awal minggu ini ROS mengemukakan notis membatalkan pendaftaran PKR mulai 9 Jun depan kerana kononnya memecat seorang ahli bernama A. Jayagopal pada tahun 2009 tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Displin parti itu.
ROS secara gelojoh mensabitkan PKR melanggar peruntukan fasal 32.2.1 perlembagaan PKR.
Hakikatnya, tiada peruntukan seumpama itu melainkan fasal 32 “yang tidak langsung berkaitan dengan isu displin dan Lembaga Displin”.
Fasal 32 itu hanya menetapkan bahawa Majlis Pimpinan Pusat mempunyai kuasa muktamad menyelesaikan sebarang pertikaian mengenai tafsiran perlembagaan atau peraturan tetap mengenai kongres parti.
Johari menegaskan UMNO-BN sengaja mengheret PKR supaya terus terjerumus dalam perangkap mereka sekali gus melambatkan proses permohonan dalam memastikan PKR seterusnya, Pakatan Rakyat gagal menyertai Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.
"Sebagai pemimpin dalam Parti PKR saya tidak terlepas dari mempunyai syakwasangka bahawa ini adalah diantara agenda UMNO-BN untuk menidakan kita (PKR) dari turut bertanding didalam pilihanraya.
"Atas dasar teknikal, dimana PKR terpaksa melalui permohonan semula, dan proses itu akan dilambatkan dan sebagainya," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan