Rabu, 4 Mei 2011

PAS bantah Umno bawa masuk pengundi luar

Ismail Hashim


SHAH ALAM: PAS Kawasan Pandan hari ini membantah keras tindakan Umno BN yang membawa masuk pengundi dari luar ke dalam kawasan itu dalam usaha merampas semula negeri termaju di Malaysia, Selangor dari tangan Pakatan Rakyat.

Gesaan juga dibuat terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera melakukan penyiasatan kerana dibimbangi operasi itu dibantu oleh agensi-agensi Kerajaan Persekutuan.

Yang Dipertua PAS Pandan, Iskandar Abdul Samad (gambar) di dalam sidang media di pejabatnya di sini mendesak satu siasatan segera dilakukan kerana beliau yakin kerja-kerja jahat ini dilakukan oleh banyak agensi kerajaan berkaitan.

Beliau percaya, tindakan mengubah alamat tempat tinggal di dalam kad pengenalan pasti melibatkan paling kurang dua agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR.

Penemuan ini, jelasnya, membuktikan Umno BN telah memindahkan pengundi-pengundi ke dalam Dun-Dun tertentu dan yakin, ini adalah sebahagian kecil dari gerak kerja besar-besaran Umno BN di seluruh Negeri Selangor.

"Umno BN kecewa kerana gagal mendapatkan sokongan rakyat, mereka terpaksa memindahkan pengundi untuk merampas Negeri Selangor dari Pakatan," jelasnya.

Beliau yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Kerajaan Negeri Selangor berharap jika SPR benar-benar adil dan telus, mereka akan melakukan siasatan terperinci ke atas perkara ini.

Menurutnya, PAS Pandan telah mengenalpasti lebih 900 pengundi baru telah didaftarkan di dalam Dun Chempaka yang beliau menjadi Adunnya.

"Meskipun terpaksa membelanjakan banyak wang untuk membayar proses membantah ini kepada SPR, PAS Pandan tetap melakukannya," tegasnya.

Untuk rekod, setiap bantahan memerlukan RM60 untuk setiap pengundi di mana RM10 untuk bantahan pemula dan mempertahankan bantahan di dalam perbicaraan pula perlu dibayar sebanyak RM50 kepada SPR.

Iskandar turut memberikan bukti berkaitan yang dikenalpasti di mana perpindahan itu melibatkan AJK-AJK Umno dari Dun Teratai.

Beliau berkata, AJK Umno Bahagian Pandan yang juga Ketua Umno Cawangan Taman Kencana dipindahkan ke Taman Dagang di dalam Dun Chempaka.

Seramai lima AJK Wanita Umno Cawangan Pangsapuri Intan telah dipindahkan ke Dun Chempaka, Taman Bakti (2), Pandan Jaya (2) dan Lorong Molek Kampung Pandan (1) termasuk 10 ahli Umno Cheras Baru dipindahkan ke Dun Chempaka.

Tambahnya, mereka yang dipindahkan untuk mengundi di Dun Chempaka itu masih bermastautin di Dun Teratai dan mereka tidak menetap di alamat mereka didaftarkan.

Beliau berharap dengan pendedahan sebahagian kecil dari kerja jahat Umno BN di dalam hal ini akan menambahkan kesedaran rakyat secara umumnya tentang kemuflisan mereka di dalam berpolitik secara demokratik dan bersih.

Tiada ulasan: