Selasa, 3 Mei 2011

Osama terbunuh tapi amaran balas dendam ‘segar’

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER


Muka depan edisi khas majalah TIME bertarikh 2 Mei 2011, yang dikeluarkan ekoran kematian Osama semalam. — Foto Reuters


WASHINGTON— Pemimpin-pemimpin dunia memberi amaran kemungkinan tindakan balas dendam selepas Osama bin Laden terbunuh dalam serangan pasukan Amerika Syarikat di Pakistan awal pagi semalam meskipun usaha itu mengakhiri pemburuan ketua rangakain Al-Qaeda.

Presiden Barack Obama mengisytiharkan bahawa dunia ini sebagai tempat tinggal yang selamat dan “lebih baik” dengan kematian Osama.

Bagaimanapun sambutan di lokasi “Ground Zero” di New York akibat serangan 11 September 2001 tergangggu dengan panggilan mengenai kemungkinan adanya tindakan balas daripada kalangan pengikutnya.

Jenazah Osama disemadikan di laut dari kapal pembawa pesawat Amerika Syarikat dan dilaporkan dilepaskan di utara Laut Arab.

Kematian Osama menutup bab mengesan dan memburunya lebih satu dekad - sebahagaian perang menentang kumpulan pengganas, tetapi perkembangan terbaru ini belum dapat mengakhiri ancaman serangan-serangan baru.

Di bawah kepimpinan Osama, militan menyerang sasaran mereka — dari Indonesia sehinggalah Madrid dan London.

“Meskipun kita menganggap ini sebagai kejayaan, kita tidak harus lupa bahawa usaha menghentikan Al-Qaeda dan sindiket pengganas tidak akan berkhir dengan kematian Osama,” kata Setiausaha Negara Hillary Clinton beberapa jam selepas Osama dilaporkan terbunuh.

Di Kuala Lumpur, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berharap kematian pengasas Al-Qaeda itu akan membuatkan dunia menjadi lebih aman, selamat dan adil.

Perdana Menteri juga berharap kematian Osama akan dapat memulihkan semula nama baik Islam yang tercalar ekoran imej negatif dibawa oleh pengasas Al-Qaeda itu.

Beliau bagaimanapun mengingatkan kepada semua pihak bahawa meskipun kematian Osama memberi tamparan hebat kepada al-Qaeda, namun itu tidak bermakna pergerakan tersebut akan terkubur sama sekali sebaliknya ia tetap boleh disusun serta digerakkan semula.

“Kita tidak boleh anggap segala-galanya telah tamat ekoran kematian Osama tetapi jelas kehilangannya merupakan satu kehilangan bagi pihak Al-Qaeda terutama dari segi kekuatan kepada pergerakan itu.

“Di peringkat negara pula tiada tanda pergerakan al-Qaeda wujud. Namun begitu pihak polis akan terus berada dalam keadaan berjaga-jaga termasuk mengesan jika ada apa-apa tindakan daripada mana-mana pihak untuk menunjukkan simpati kepada kematian Osama,’’ katanya.

Sementara keraguan berterusan di negara-negara Islam, seorang pegawai AS berkata ujian DNA menunjukkan “seratus peratus” wajah individu yang mati sepadan dengan Osama.

Gambar wajah individu yang terbunuh juga disiarkan media asing.

Obama, yang popularitinya merudum ekoran isu ekonomi AS, untuk tempoh jangka pendek dijangka akan menaikkan semula imejnya.

Pada masa yang sama beliau juga dijangka berhadapan dengan tekanan berterusan daripada rakyat AS supaya mempercepatkan rancangan membawa pulang askarnya dari Afghanistan, mulai Julai ini.

Bagaimanapun kematian Osama dijangka tidak akan membawa sebarang impak ke atas perang yang telah berlarutan selama satu dekad di Afghanistan di mana askar AS berhadapan dengan puak Taliban.

Ramai penganalisis melihat kematian Osama sebagai simbolik memandangkan dia sudah tidak lagi mengeluarkan arahan operasi kepada gabungan Al-Qaeda yang kini kelihatan bertindak secara autonomi.

“Adalah banyak lagi kumpulan seperti Al-Qaeda,” kata Steve Clemons, seorang penganalisis Asia Barat di New America Foundation.

“Osama ada satu kekuatan memberi semangat tetapi ada cara-cara lain kumpulan ini memperoleh oksigen dan boleh kekal satu ancaman,” katanya lagi.

Tiada ulasan: