Isnin, 30 Mei 2011

Najib tak faham fungsi Putrajaya, dakwa AMK


KUALA LUMPUR— Sayap pemuda PKR mengecam tindakan Datuk Seri Najib Razak yang menggunakan platform Himpunan Sejuta Belia 2011 sambil menyifatkannya sebagai langkah terdesak Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan sokongan golongan muda bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lee Khai Loon, ucapan Najib yang meminta golongan muda untuk mempertahankan Putrajaya daripada Pakatan Rakyat disifatkan sebagai agenda politik sempit yang masih diamalkan BN.

Dalam ucapan Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, Najib yang juga presidennya berkata Putrajaya harus dipertahankan dengan apa cara sekali pun.

“AMK mengecam tindakan BN yang mengeksploitasikan aktiviti Himpunan Sejuta Belia sebagai platform untuk mempertahankan kuasa pemerintah yang penuh dengan agenda politik sempit selain itu perhimpunan itu juga membazirkan wang rakyat.

“Tahun lepas, Datuk Seri Najib Razak pernah menyatakan bahawa BN akan mempertahankan Putrajaya walau apa pun terjadi semasa pada Mesyuarat Agung Umno. Kini, beliau telah menggunakan Himpunan Belia sebagai alat untuk menyerang parti pembangkang,” kata Lee dalam satu kenyataan.

Tegas beliau, apa yang diucapkan Najib itu membuktikan perdana menteri keenam itu tidak memahami fungsi Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara.

“Keadaan ini telah menunjukkan perdana menteri tidak memahami fungsi Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.

“Di bawah konteks sebuah negara yang demokrasi, Putrajaya adalah milik rakyat Malaysia dan ia merupakan kawasan pentadbiran kerajaan yang dipilih oleh rakyat semasa pilihan raya, jadi Putrajaya bukan dimiliki mutlak oleh mana-mana parti politik,” katanya. Bagaimanapun Lee percaya golongan muda tidak akan mudah terpedaya dengan agenda politik yang digunakan BN.

“AMK amat kesal dengan Himpunan Belia yang telah dijadikan sebagai majlis menyokong BN dan kebanyakan anak muda dipercayai tidak mengetahui bahawa perhimpunan tersebut merupakan rapat umum BN untuk mempertahankan Putrajaya.

“Akan tetapi, terdapat juga pemimpin-pemimpin anak muda dalam NGO menyatakan bahawa NGO tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana parti politik selepas mengambil bahagian dalam program tersebut,” katanya.

Tambah beliau, Najib sepatutnya menjadi teladan kepada golongan muda dan bukan meminta agar mempertahankan Putrajaya daripada jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat meletakkan sasaran untuk menawan kerajaan pusat dalam pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa.

“Sebagai seorang perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak seharusnya menjadi satu teladan yang baik kepada anak muda dan bukan semata-matanya melaungkan bahawa hendak mempertahankan Putrajaya bersama-sama dengan golongan muda.

“Selain itu, perdana menteri juga perlu membersihkan sistem pilihanraya yang tidak adil, kotor dan ketidaktelusan terlebih dahulu sekiranya ingin disokong oleh rakyat,” kata Lee.

Najib dalam perhimpunan yang diadakan di Putrajaya mahu mahu golongan muda mempertahankan Putrajaya daripada Pakatan Rakyat jika ingin melihat Malaysia menjadi negara maju.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berjaya dalam usaha transformasi tanpa sokongan daripada belia negara ini.

“Ada yang panggil saya Bapa Transformasi, saya tidak tahu, tetapi anda semua adalah pemangkin perubahan,” katanya.

“Jika belia bersama dengan kerajaan, negara kita akan aman dan kita boleh menjadikan negara kita makmur,” katanya.

Tiada ulasan: