Jumaat, 20 Mei 2011

Naib presiden: Mujahid tolak, Idris sahkan tanding

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Bekas calon Naib Presiden PAS sessi lepas, Mujahid Yusof mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan itu kali ini manakala Ketua Penerangan, Idris Ahmad sahkan akan bertanding.

Dalam kenyataannya kepada Harakadaily hari ini, Idris mengesahkan beliau akan bertanding untuk jawatan itu dalam muktamar kali ini.

Dengan pengesahan ini, sudah dua calon mengesahkan bertanding iaitu Idris dan Salahudin Ayub manakala Mujahid Yusof mengesahkan beliau tidak akan bertanding jawatan itu.

Dalam kenyataan bertulisnya kepada Harakahdaily, Mujahid berkata, buat masa ini beliau belum mampu membawa pertanggungjawaban di tahap tersebut namun untuk masa hadapan "saya serahkan kepada Allah dan kepada ahli untuk menilai prestasi saya."

"Walaupun demikian saya bersetuju menerima pencalonan untuk jawatan AJK PAS Pusat dan selagi khidmat saya diperlukan saya akan terus berkhidmat untuk parti demi agama, bangsa dan negara," kata beliau.

Dalam Muktamar 2009, Mujahid bertanding jawatan naib presiden tetapi tewas. Namun begitu beliau menang jawatan AJK PAS Pusat.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub pula berkata, beliau akan mempertahankan jawatannya itu kerana menganggap tidak layak untuk bertanding jawatan yang lebih tinggi.

Seorang lagi naib presiden, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau akan mengumumkan pendiriannya Ahad ini melalui satu sidang media yang akan diadakan. Beliau kini berada di Singapura untuk menyertai satu majlis di sana.

AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman pula akan membuat keputusan 24 Mei nanti iaitu dua hari sebelum tarikh tutup pengesahan penerima pencalonan ini sebagaimana yang ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan 2011.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak juga belum membuat sebarang keputusan sehingga kini. Ketika ditanya wartawan dalam sidang medianya tengahari tadi, beliau berkata akan membuat keputusan selepas menerima surat pengesahan pencalonan dari JK Pemilih, beritahu Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid.

Selain naib presiden, Azizan juga layak untuk bertanding timbalan presiden dan juga AJK PAS Pusat.

Bekas Naib Presiden, Datuk Husam Musa juga belum membuat sebarang keputusan dan mengambil sikap tunggu dan lihat dahulu. Selain naib presiden, sebagaimana Azizan, Husam juga layak bertanding timbalan presiden dan AJK.

Ketika dicalonkan sebagai presiden oleh PAS Kawasan Bukit Bintang, Husam menolaknya dengan membuat kenyataan sokongan penuhnya kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi dan berkata beliau hanya akan bertanding AJK sahaja.

Jawatankuasa Pemilih PAS 2011 memaklumkan, 14 calon layak untuk bertanding dalam pemilihan kali ini.

Enam dari mereka turut dicalonkan untuk jawatan timbalan presiden iaitu timbalan presiden sekarang, Nasharudin Mat Isa, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, naib-naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Salahuddin Ayub, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Selain mereka, turut layak bertanding jawatan naib presiden adalah:

1. Idris Haji Ahmad (ketua penerangan)
2. Mahfuz Omar (naib presiden)
3. Mazlan Aliman (AJK PAS Pusat)
4. Datuk Mohd Amar Abdullah (Exco Kerajaan Kelantan)
5. Mohd Hatta Md Ramli (Bendahari PAS Pusat)
6. Mujahid Haji Yusof Rawa (AJK PAS Pusat)
7. Nik Zawawi Nik Salleh (Ketua Peneranagn Dewan Ulamak)
8. Datuk Seri Nizar Jamaluddin (AJK PAS Pusat).

Tiada ulasan: