Ahad, 1 Mei 2011

MIC: Terima semula tiga pemimpin anti-Samy Vellu sah


KUALA LUMPUR — Keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC menerima balik tiga pemimpin pusat minggu lalu tidak bercanggah dengan perlembagaan parti itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Disiplinnya Tan Sri K.S Nijhar hari ini.

Kelmarin, Setiausaha Pemuda MIC C Sivarraajh membuat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) mendakwa keputusan CWC itu sebagai tidak sah.

Perkembangan terbaru ini dilihat kemungkinan membawa kepada perpecahan semula dalam parti komponen BN itu ketika Presiden barunya, Dauk G Palanivel mahu memperkukuhkan parti menjelang pilihan raya umum ke-13.

Sivarraajh menimbulkan persoalan adakah wajar perlembagaan parti diketepikan untuk memberi pengampunan kepada tiga pemimpin berkenaan dan menegaskan, ia bertentangan dengan Perkara 15.4 dan 61.5 perlembagaan.

Aturan 15.4 menyatakan seseorang ahli yang sudah dipecat hanya boleh dikembalikan ke jawatan asal jika merayu kepada CWC dan rayuan diterima oleh jawatankuasa berkenaan. Aturan 61.5 pula menyebut ahli yang dipecat hanya boleh memohon diterima balik sebagai ahli selepas luput dua tahun daripada tarikh dipecat.

Meskipun majoriti CWC menyokong keputusan tersebut tetapi dua tiga anggota jawatankuasa itu termasuk pemimpinan tertinggi membantahnya.

V Mugilan yang merupakan timbalan ketua Pemuda MIC pusat ketika dipecat 11 bulan lalu oleh bekas presiden Datuk Seri S Samy Vellu ekoran tindakannya mencabar beliau agar melepaskan jawatannya dengan segera menjelang penghujung 2010, diterima balik dan dikembalikan jawatan asalnya.

Palanivel sebelum ini berkata, semua ahli MIC yang telah disingkir atau keluar parti sebelum ini akan diterima kembali dan dikekalkan jawatan mereka, tetapi dengan syarat.

Beliau berkata mereka yang telah disingkirkan diberi tempoh selama 30 hari bermula hari ini untuk mengemukakan surat rayuan bertulis kepada parti.

Selain Mugilan, turut diterima ialah dua bekas anggota CWC iaitu Kumar Aamaan dan K.P Samy.

Ketiga-tiga mereka menganjurkan kempen Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) tahun lalu.

“Nampaknya wujud kurang kefahaman di pihak Setiausaha Pemuda MIC Sivarraajh dan seorang atau dua pemimpin kanan MIC yang lain mengenai apa yang dimaksudkan pengampunan.

“Satu-satunya isu di sini ialah sama ada CWC MIC boleh memberikan pengampunan kepada anggota yang dipecat,” kata Nijhar dalam satu kenyataan SMS petang ini.

Kata beliau, pada pandangan CWC jawapannya adalah “ya” memandangkan perlembagaan MIC memberikan kuasa kepada jawatankuasa pusat untuk menyelesaikan masalah dalaman.

Berdasarkan kuasa itu, kata beliau, CWC memberikan pengampunan kepada ketiga-tiga pemimpin itu untuk menyertai semula parti dan diberikan jawatan asal masing-masing.

“Tujuan utama pengampunan ini ialah menyatukan semula dan memperkukuhkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum.

“Ini adalah idea kreatif dan inovatif... sebaik sahaja pengampunan diberikan, ia bermakna ahli-ahli yang dipecat dimaafkan daripada tarikh kesalahan didakwa dilakukan,” kata Nijhar lagi.

Nijhar juga berkata, mereka yang mendakwa wujud percanggahan dalam keputusan itu sebenarnya tidak faham antara soal dikembalikan kedudukan dan diterima semula.

“Mereka membuat dakwaan berdasarkan konsep diterima semula. Tindakan CWC adalah berdasarkan konsep dikembalikan jawatan,” katanya.

Nijhar berkata jika Sivarraajh sudi, beliau bersedia untuk bertemu dengan anggota Majlis Pemuda dan mengadakan dialog mengenai perkara tersebut.

Tiada ulasan: