Isnin, 9 Mei 2011

Letupan Di Ibu Negara, Warga British Cedera

BERNAMA

KUALA LUMPUR : Satu letupan kuat dipercayai berpunca daripada kebocoran sistem gas terpusat berlaku di sebuah unit tingkat 17, sebuah kondominium 30 tingkat, di Jalan Ampang, di Kuala Lumpur, malam semalam.

Kejadian itu menyebabkan penghuni Paul Levell, seorang warga British berumur 61 tahun yang mendiami unit itu, mengalami kebakaran 60 peratus di badannya dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Prince Court.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.44 malam tadi itu menyebabkan rumah di tingkat itu terbakar selain kaca tingkap dan pintu utama bertaburan di atas jalan raya.

"Tiba di tempat kejadian bomba guna peralatan di dalam bangunan untuk padam kebakaran dan satu jam kemudian didapati terdapat kesan kebakaran di setiap bilik di dalam unit itu.

"Di bahagian syiling menunjukkan keseluruhan di dalam unit itu tadi dipenuhi dengan gas LNG kerana kerana unit itu guna sistem pembekalan gas terpusat," katanya di tempat kejadian.

Beliau berkata pihaknya akan mengenalpasti punca kebakaran dengan pihak Gas Malaysia Sdn Bhd sama ada kebakaran itu berpunca daripada kelalaian pihaknya atau kecuaian daripada mangsa.

"Kita percaya punca gas itu tadi daripada bahagian dapur. Bagaimanapun kita akan buat siasatan bagaimana gas itu boleh bocor, sama ada injap pada gas di bahagian dapur terbuka atau sebaliknya.

Beliau berkata kesan letupan menyebabkan terdapat gegaran di ibu kota sehingga beberapa tingkap di Hotel Corus, berdekatan, pecah dan bertaburan di jalan raya serta tingkap pada beberapa buah kereta pecah.

"Di tingkat 17 itu ada tiga buah unit yang mana hanya dua unit telah didiami. Tapi hanya unit yang tidak didiami tidak mengalami kesan daripada kebakaran itu manakala kesan letupan itu juga menyebabkan pintu lif di tingkat itu terkopak dan tidak boleh digunakan," katanya sambil menambah mangsa baru berpindah di kondominium itu, Jumaat lalu.

Katanya, sebanyak empat jentera dari Balai Bomba Hang Tuah dengan 38 anggota termasuk pegawai dikerahkan ke tempat kejadian.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata punca kejadian itu adalah daripada gas dan tiada unsur lain termasuk jenayah.

Sementara itu, seorang saksi yang dikenali sebagai Daniela Semeraro, 42, berkata ketika kejadian dia dan suami sedang menonton televisyen di rumahnya di tingkat 12.

"Saya dengar letupan kuat dan lihat kebakaran besar di tingkat 17 dan kami segera keluar," katanya.

Tiada ulasan: