M Faqih |
BETULKAH Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat yang diwujudkan kerajaan Kelantan pada 2006 merampas tanah rakyat. Anehnya juga mengapa pemimpin Umno Kelantan meluat sangat terhadap program Ladang Rakyat sehingga didesak dikeluarkan kertas putih. Pengerusi Perhubungan Umno, Dato’ Mustapa Mohamed pula mahu mengembalikan semula tanah dibangun Ladang Rakyat seandainya BN berkuasa di Kelantan. Begitu dahsyat dilempar tuduhan terhadap Ladang Rakyat sehingga diulang-ulang berkali-kali cerita sama di media dikuasai Umno dan BN. Sedangkan penjelasan dikeluarkan kerajaan negeri dibisukan begitu sahaja. Apa pun yang jelas lagi bersuluh, pemimpin Umno terlalu gusar dengan keberkesanan program Ladang Rakyat. Apa tidaknya apabila setiap bulan penduduk miskin mendapat dividen RM200 sebulan. Penduduk miskin yang berpendapatan kurang RM530 sebulan layak disenarai sebagai peserta program berkenaan. Sekarang seramai 4,332 penduduk miskin mendapat dividen RM200 sebulan. Sejak dividen pertama dibayar pada Julai 2006 sehingga akhir tahun lepas sebanyak RM39.5 juta diterima peserta. Pada peringkat awal seramai 1,125 dipilih dan jumlah tersebut bertambah menjadikan sekarang 4,332 orang. Dividen sebanyak itu tidak pernah difikirkan Umno sebelum ini kerana sejak 1990 mereka mendakwa kerajaan di bawah PAS hanya mampu bertahan tiga bulan. Hari ini Kelantan bukan sahaja tidak bankrap, sebaliknya lebih 4,300 penduduk miskin mendapat bantuan bulanan RM200. Dari mana bantuan tersebut kalau bukan hasil kebijaksanaan pentadbirnya. Maka benarlah kata orang, Kelantan sebuah negeri berkebajikan. Bukan lagi omong kosong biar pun pemimpin Umno tidak serik menjaja kerajaan negeri merampas tanah rakyat. Kewujudan Perbadanan Ladang Rakyat dilulus pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada Febuari 2006. Mulai berkuatkuasa empat bulan selepas itu. Tujuan penubuhannya bagi meningkat sosial ekonomi negeri dan kehidupan penduduk. Selain itu menggalakkan kerja-kerja pembangunan tanah. Falsafahnya mengurangkan kadar kemiskinan rakyat melalui sektor perladangan. Selain itu bagi mengurangkan penerokaan tanah secara haram. ”Kita buat ladang dan hasil daripada kemajuan ladang, kita kumpulkan wang dan masukkan ke dalam akaun amanah peserta program Ladang Rakyat. ”Pihak yang diberi kebenaran memajukan tanah perlu membayar secara tahunan kepada akaun amanah. Dan akaun inilah yang kita agihkan kepada peserta Ladang Rakyat sebanyak RM200 sebulan. ”Dividen pertama diagih pada Julai 2006. Sehingga Disember 2010 Ladang Rakyat telah membayar dividen sebanyak 39.59 juta,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi. Bilangan peserta disasarkan seramai 4,500 orang. Ada peserta digugur dan belum digantikan akibat kematian. Daripada jumlah tersebut 3,911 orang mewakili kaum Melayu, Cina, India dan Siam. Peserta di kalangan masyarakat Orang Asal pula seramai 247 orang. Selain itu turut disenarai sebagai peserta peneroka asal yang menduduki tanah sebelum dimajukan Ladang Rakyat. Mereka seramai 174 orang. Tanah yang mereka usahakan sebelum ini tidak menjadi disebabkan pelbagai masalah termasuk dimusnah binatang liar seperti gajah dan babi. Dr Nazmi berkata, tanah mereka tidak produktif dan peneroka terbabit menyerah kepada Ladang Rakyat untuk dibangunkan. ”Ladang Rakyat mengesan mereka benar-benar mengusahakan tanah tersebut dan menyenaraikan sebagai peserta Ladang Rakyat. Jumlah peneroka seperti itu terdapat lebih 100 di Lubuk Bongor, Jeli. ”Terdapat juga di beberapa tempat lain di Gua Musang. Mereka bersetuju kebun yang pernah diusahakan diserah kepada Ladang Rakyat. ”Mereka disenarai sebagai peserta untuk melayakkan mendapat dividen sebanyak RM200 sebulan,” ujarnya ketika ditemui di sini. Di Lubuk Bongor diusahakan dengan tanaman kelapa sawit seluas 8,000 ekar. Ladang tersebut dimajukan Ladang Rakyat Lubuk Bongor Sdn Bhd, anak syarikat Ladang Sungai Terah Sdn Bhd. Menurutnya juga Ladang Rakyat mengeluarkan mana-mana kawasan yang didapati terdapat pokok getah atau kebun diusahakan penduduk. Kawasan yang ada pokok besar kekal milik peneroka. Dan sekarang ramai di kalangan peneroka asal sudah mendapat geran hak milik. ”Sebab itulah kalau ditengok pelan ladang di Lubuk Bongor tidak berbentuk empat segi kerana ada kawasan yang terpaksa dikeluarkan kerana ada pokok milik peneroka asal. ”Bagi peneroka asal yang menanam lebih luas akan senaraikan lebih daripada seorang sebagai penerima dividen. Bergantung keluasan tanah yang mereka usaha sebelum ini. ” Ini bermakna setiap bulan ada keluarga yang mendapat dividen sehingga RM600,” ujarnya. Model yang dilaksanakan di Lubuk Bongor bagaimana tidak dapat dilaksanakan di Kampung Serian dan Batu 11 di Renok, Gua Musang kerana penduduk tidak berminat. Penduduk di situ mahukan tanah dan tidak berminat disenarai sebagai penerima bulanan dividen Ladang Rakyat. Dr Nazmi berkata, kawasan asal yang diluluskan kerajaan kepada Ladang Rakyat di Renok seluas 11,400 ekar. Namun seluas 4,200 ekar dikeluarkan selepas dituntut penduduk. Sekarang hanya tinggal 7,200 ekar. Bagi menyelesaikan masalah dengan penduduk beberapa kali perbincangan dan perundingan dibuat. ”Ladang Rakyat keluarkan kawasan yang benar-benar diusahakan penduduk. Banyak perbincangan dibuat di peringkat pentadbir tanah Gua Musang. ”Pejabat Tanah juga memanggil wakil-wakil penduduk yang meneroka tanah tersebut di mana mereka telah mengecam kawasan masing-masing,” katanya. Kawasan tersebut dikeluarkan daripada lokasi yang akan dimajukan Ladang Rakyat. Dan selepas lebih dua tahun perundingan dibuat akhirnya Ladang Rakyat membuat pelan kali ketiga, di mana mengeluarkan kawasan diteroka penduduk. Dan selepas keluar pelan bersih yang tidak lagi membabitkan kebun penduduk, juruukur dilantik menanam batu sempadan. ”Namun tiba-tiba datang kumpulan lain yang mendakwa kawasan tersebut milik mereka, sedangkan di tapak tiada apa-apa tanaman yang diusahakan. ”Tidak ada pokok-pokok getah atau buah-buahan. Pada peringkat awal perbincangan dibuat kumpulan itu tidak pernah datang menuntut hak mereka. ”Kumpulan seperti ini dipercayai terbabit menjual tanah-tanah kerajaan. Ini kerana penduduk yang benar-benar meneroka tanah sudah diselesaikan semasa pemutihan dilakukan,” ujar Dr Nazmi. Sebab itulah kata beliau beberapa ratus ekar di Renok belum dapat ditanam kelapa sawit biar pun geran sudah dikeluarkan atas nama Ladang Rakyat. Ladang Rakyat juga membangunkan ladang kelapa sawit di Sokor, Tanah Merah; Kuala Balah, Jeli; Kandek, Kuala Krai dan Paloh 4, Gua Musang. Di Gua Musang juga Ladang Rakyat terdapat di Limau Kasturi, Pasek, Hau dan Pulat. Jumlah keseluruhan kawasan dimaju dengan kerjasama beberapa syarikat seluas 50,000 ekar. Biar pun terdapat tanah yang diluluskan tidak jauh daripada kawasan Orang Asal, namun penempatan mereka tidak termasuk dalam projek Ladang Rakyat. Misalnya di Pasek seluas 1,500 ekar dikeluarkan daripada pelan asal Ladang Rakyat. Begitu juga di Belatim kelulusan asal kerajaan seluas 4,000 ekar, namun seluas 1,500 ekar direzabkan untuk masyarakat Orang Asal. Di Balar (Dakoh), kelulusan awal kerajaan negeri seluas 6,000 ekar untuk program Ladang Rakyat, namun seluas 1,000 ekar dikeluarkan. Oleh itu Dr Nazmi memberitahu isu yang dipalitkan terhadap Ladang Rakyat jelas tersembunyi agenda politik murahan pihak lawan. ”Ini kerana banyak tanah yang diberi kerajaan negeri dikeluarkan apabila didapati ada tanaman milik penduduk. ”Banyak perbincangan dibuat dengan penduduk tempatan bagi memastikan tanah yang mereka usahakan. Apabila terbukti milik penduduk, kita keluarkan," kata pula Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob. Dr Nazmi juga hairan setelah pemutihan dilakukan ada pula pihak lain tiba-tiba tampil mengaku, sedangkan ketika perundingan awal mereka tiada. Ini menggambarkan ada pihak mahu mengsabotaj program untuk kebajikan rakyat. |
Jumaat, 6 Mei 2011
Ladang Rakyat: Umno jadi 'cacing kepanasan'
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan