Sabtu, 28 Mei 2011

KPT KENA JELASKAN STATUS KOLEJ TIRAM



Oleh: SURIATI MAHMUD

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi disarankan menjelaskan kedudukan dan status Kolej Tiram di Lahad Datu yang menjalan operasi tanpa kelulusan sejak 30 tahun lalu dan tidak termasuk dalam senarai lima IPTS di Sabah yang dikenakan kompaun RM50,000 kerana melanggar peraturan.

Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian, Kunsul Nahul yang sebelum ini menimbulkan isu berkenaan kesal kerana Kolej Tiram terus beroperasi tanpa sebarang halangan termasuk menawarkan kursus berkembar dengan IPTS di Semenanjung Malaysia dan sekolah menengah swasta.

“Apa istimewanya Kolej Tiram hingga dikecualikan daripada hukuman dan terus beroperasi tanpa sebarang sekatan sedangkan Tadika PASTI dan swasta tidak dibenarkan beroperasi tanpa lesen,” ujar Kunsul yang meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PDRM menyiasat isu ini.

Kunsul mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung bahawa sekurang-kurangnya lima Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Sabah dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 atas pelbagai kesalahan tahun lepas, namun tidak menyebut nama Kolej Tiram.

Dr Hou menyatakan antara kesalahan itu termasuk mengendalikan kursus tamat tempoh, pindah premis atau menawarkan kursus tanpa kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan memberi amaran kepada semua IPTS agar sentiasa mematuhi kriteria dan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Memandangkan Kolej Tiram tidak berdaftar dengan Kementerian Pengajian Tinggi namun masih menjalankan operasi, maka Kunsul menjelaskan ada sesuatu yang tidak kena; apatah lagi sekolah swasta ini dipercayai dimiliki oleh pemimpin MIC.

“Kenapa Majlis Daerah Lahad Datu juga tidak mengambil tindakan kerana ubah suai sekolah ini tidak mendapat kelulusan Majlis Daerah,” ujar Kunsul yang mengatakan pengurusan Kolej Tiram meremehkan teguran beliau sebelum ini.

Kunsul bagaimanapun bersetuju agar Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak berkuasa tempatan diberi kuasa penuh bagi memastikan Akta 555 dipatuhi demi kepentingan negara.

Oleh itu, Kunsul menggesa Kerajaan bertindak tegas ke atas Kolej Tiram sebagaimana tindakan yang diambil terhadap Institut Senireka Raffles yang telah disabit kesalahan dan didenda RM120,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas lima pertuduhan berkaitan dengan mengendalikan kursus tanpa mendapat kelulusan.

Untuk rekod, jumlah IPTS yang beroperasi di negara ini ialah 488 buah, termasuk 25 berstatus Universiti, 22 berstatus Kolej Universiti, lima cawangan universiti luar negara dan 436 berstatus kolej.

Tiada ulasan: