PASPB
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri menafikan dakwaan menyalahgunakan peruntukan menyelenggara jalan negeri untuk tujuan lain sebaliknya ia dibuat secara berperingkat mengikut amalan kerajaan terdahulu.
Exco Kerja Raya, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, apabila peruntukan Kerajaan Pusat dimasukkan ke dalam akaun Kerajaan Negeri, wang itu sudah bercampur dengan wang sedia ada memandangkan Kedah tidak mempunyai akaun lain untuk membolehkan peruntukan menyelenggara jalan negeri itu diasingkan.
Menurutnya, amat sukar untuk memastikan peruntukan itu digunakan bagi tujuan membaik pulih jalan negeri memandangkan Kerajaan Negeri membelanjakan bermacam-macam perkara sepanjang tahun.
“Saya fikir Kerajaan Negeri sedia ada meneruskan amalan sama yang dibuat kerajaan terdahulu .
"Perkara sama turut berlaku di seluruh negara apabila setiap peruntukan diterima dari Kerajaan Pusat dimasukkan dalam satu akaun.
“Selain itu, Kerajaan Negeri menyerahkan urusan membaik pulih jalan negeri di bawah tanggungjawab Pegawai Kewangan Negeri dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah sepenuhnya.
“Jadi, isu penyalahgunaan peruntukan tidak seharusnya ditimbulkan oleh Kementerian Kerja Raya,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian, semalam.
Ir Phahrolrazi berkata sedemikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor, semalam.
Shaziman mendedahkan Kedah dan Selangor dikenal pasti antara negeri yang didapati menyalahgunakan peruntukan penyelenggaraan jalan negeri untuk tujuan lain.
Ir Phahrolrazi berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai jumlah perbelanjaan Kerajaan Negeri untuk kerja membaik pulih jalan negeri setakat ini.
“Saya akan merujuk perkara ini dengan JKR negeri dan Pegawai Kewangan Negeri terlebih dahulu untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan