Jumaat, 6 Mei 2011

Isu skirt: Pemuda PAS desak BAM, Putrajaya boikot BWF

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER



Pemain China Wang Shixian, yang berpakaian seluar, membalas pukulan Wang Yihan pada pertemuan final wanita Kejohanan Terbuka Malaysia 2011 di Kuala Lumpur pada 23 Januari lalu. — Foto Reuters

KUALA LUMPUR— Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendesak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Kementerian Belia dan Sukan mengemukakan bantahan rasmi kepada Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) ekoran keputusannya mahu mewajibkan pemakaian skirt ke atas pemain-pemain wanita.

Sayap PAS itu menegaskan pihaknya kesal kerana BAM dan kementerian tidak proaktif bagi membantah keputusan tersebut.

“Pemuda PAS melihat bahawa alasan yang digunakan oleh BWF yang mahu ia dijadikan tarikan supaya lebih ramai penonton boleh hadir melihat pertandingan di gelanggang sebagai alasan tidak masuk akal dan remeh.

“Mereka sepatutnya menghormati hak wanita, yang sepatutnya tidak diekpolitasi batang tubuh dan pemakaian mereka hanya untuk menarik penonton,” kata Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzaman Mohamad dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata beliau, sepatutnya BWF membincangkan tentang strategi peningkatan kualiti pemain wanita untuk menarik perhatian penonton, bukannya dengan cara memaksa mereka memakai skirt untuk dijadikan bahan pameran gelanggang.

Dalam kenyataan semalam, BWF menafikan peraturan baru yang mewajibkan pemain wanita memakai skirt supaya kelihatan lebih seksi.

Sebaliknya BWF berkata peraturan baru itu bertujuan “untuk memastikan aksi lebih menarik” untuk menarik kehadiran lebih ramai penonton.

BWF berkata, mereka akan meneruskan pelaksanaan peraturan itu yang ditangguhkan selepas pemain dan pegawai mengemukakan bantahan, bermula 1 Jun ini.

“Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yakin idea ini timbul selepas BWF melihat populariti dan promosi melampau media terdapat pemain-pemain tenis pada masa sekarang berbanding dahulu kerana fesyen skirt mereka.

“Tetapi itu bukanlah contoh terbaik yang patut dibawa ke dalam arena badminton yang mempunyai peminatnya yang tersendiri,” kata beliau lagi.

Kata beliau, pihaknya berharap pertubuhan wanita dan bukan kerajaan Malaysia bangkit menyuarakan isu ini kerana tidak mahu gambar-gambar jelek yang tidak sepatutnya, dirakamkan ketika saat perlawanan berlangsung.

“Rakaman itu pastinya mengaibkan pemain-pemain wanita yang secara tidak langsung diekspolitasi bagi menaikan kutipan jualan tiket dan jualan surat khabar berita sukan dengan gambar-gambar sensasi,” kata beliau lagi.

Selain itu kata beliau, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga melihat peraturan ini bakal menyekat pemain-pemain wanita Islam untuk melibatkan diri dalam sukan ini.

“Dan, ini adalah diskriminasi melibatkan kepercayaan agama. Mengapa tidak BAM memulai contoh dengan bereksperimentasi mengadakan pertandingan kebangsaan dengan semua pemain Islam menutup aurat.

“Jika ahli sukan wanita dan lelaki di Iran boleh menunjukan prestasi yang baik dalam sukan menggunakan pakaian menutup aurat kenapa Malaysia tidak berani untuk melakukannya,” katanya lagi.

Kamaruzaman berkata, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga berharap agar masyarakat sukan mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada agensi-agensi sukan di negara dan tidak sewenang-wenangnya dibiarkan terikat dengan peraturan tidak masuk akal oleh badan sukan antarabangsa.

“Sekirannya BWF masih berkeras untuk menguatkuasakan arahan itu, Pemuda PAS pusat mendesak agar BAM memboikot Pertandingan Badminton Terbuka Singapura pada 14 Jun yang juga menjadi pertandingan pertama yang akan menguatkuasakan keputusan BWF ini.

“Dan, seterusnya mengadakan kempen boikot secara terbuka supaya persatuan di negara lain seperti China, Korea, Indonesia, Thailand dan sebagainya turut memboikot,” katanya lagi.

Tiada ulasan: