Isteri Teoh Beng Hock - Soh Cher Wei - sebak serta menitiskan air mata ketika memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung kematian suaminya.
Air matanya tidak dapat ditahan menitis di pipinya ketika dia menceritakan secara panjang lebar mengenai personaliti Teoh dan tentang hubungan mereka.
Pesuruhjaya Mohamad Hatta Shaharom meminta Soh menceritakan mengenai hubungannya dengan Teoh dan "apakah makna cinta mereka" kepadanya
Soh yang sebak dan terpaksa menunggu seketika sebelum menjawab soalan tersebut, kelihatan mengesat air matanya sambil berkata, dia menganggap Teoh sebagai lelaki untuknya berkongsi hidup hingga ke akhir hayat.
"Dia seorang yang baik. Dia menyayangi saya dan keluarganya," kata
guru berusia 30 tahun itu dari Batu Pahat, Johor, ketika menjawab soalan Hatta mengenai apa yang disukainya tentang diri Teoh.
"Bila saya baru mengenali dia, saya mendapat tahu yang dia seorang yang amat menyayangi keluarganya dan dia akan menghubungi ibunya hampir setiap hari. Dia akan pulang ke Melaka setiap minggu," kata soah ketika menjawab soalan pegawai pengendali, Awang Armadajaya Awang Mahmud. [Baca berita penuh]Sementara itu, Bernama melaporkan pengerusi suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini mengingatkanadik perempuan Teoh supaya tidak mengeluarkan kenyataan salah berhubung prosiding siasatan.
Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya Teoh Lee Lan berbuat demikian.
"Kami telah bertugas hingga larut malam dan lebih masa untuk mencari kebenaran. Kami tersinggung dengan tuduhan sedemikian. Malah peguam Majlis Peguam Christopher Leong sendiri telah menyatakan secara terbuka tidak ada yang dapat menyokong perkara (dakwaan) sedemikian. Kami tidak akan biarkan ini mengganggu dan merosakkan prosiding ini," katanya.
Arahan Foong itu timbul setelah sebuah lamanweb menyiarkan artikel yang memetik kata-kata Lee Lan dalam satu sidang media pada 28 April lalu bertajuk "RCI sekongkol dengan SPRM".
Lee Lan yang disoal Foong berhubung artikel tersebut pada awalnya kelihatan tercengang dan menyatakan tidak tahu apa yang ditulis sehinggalah ditunjukkan artikel itu.
Bagaimanapun beliau tidak memberi jawapan (selepas membaca artikel) sama ada ada menyebutnya (dakwaan tentang prosiding) atau tidak.
Sementara itu, Lee Lan yang memberi keterangan dalam bahasa Kantonis yang diterjemah oleh seorang jurubahasa berkata beliau amat rapat dengan Teoh tetapi tidak dapat cam tulisan tangan abangnya bagi memastikan kesahihan nota 'selamat tinggal' yang dijumpai dalam beg Teoh.
Tambahnya, Teoh bukan seorang yang kuat agama dan hanya sekali ke kuil iaitu pada Tahun Baru Cina.
Ketika prosiding, Lee Lan gagal menjawab soalan dengan tepat dan kelihatan sebak apabila menceritakan karektor Teoh.
Selain Lee Lan, abang Teoh iaitu Meng Kee, tunang Teoh Soh Cher Wei dan bapa Teoh, Leong Hwee turut dipanggil memberi keterangan hari ini.
Teoh, 30, setiausaha politik Ean, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S. Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner, pada akhir siasatannya, membuat keputusan terbuka.
Prosiding disambung esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan