Sabtu, 21 Mei 2011

DAP mahu terus desak Putrajaya tarik balik Interlok


KUALA LUMPUR– DAP akan terus mendesak Putrajaya sehingga novel kontroversial Interlok digugur sebagai buku teks sastera di sekolah menengah.

Naib Pengerusi DAP kebangsaan M. Kulasegaran berkata, novel hasil karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang dijadikan buku teks Tingkatan Lima telah menyinggung perasaan rakyat negara ini.

Tegas Kulasegaran, konsep 1 Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah gagal untuk diampilkasikan apabila tidak mengambil kira pandangan masyarakat dalam isu Interlok.

“Sehingga hari ini kerajaan Barisan Nasional (BN) masih belum memutuskan untuk menarik balik novel Interlok dari sekolah walaupun terdapat kandungan novel itu menyinggung perasaan masyarakat India dan boleh menyemai benih-benih perkauman di kalangan anak muda.

“Jika kerajaan serius mengenai konsep 1 Malaysia, sudah tentu novel ini tidak akan diperkenalkan sebagai buku teks di sekolah, ia satu tindakan tidak munasabah dan tidak bertanggungjawab walaupun Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isu Interlok ini sudah selesai,” katanya dalam ceramah di Melaka malam tadi.

Dalam teks ucapan yang diedarkan kepada media hari ini, kata beliau, selain masyarakat India, novel Interlok itu turut menyinggung perasaan dan menyentuh sensitiviti orang Melayu dan orang Cina.

“DAP akan terus menuntut novel Interlok yang telah menyinggung perasaan masyarakat India, Melayu dan Cina ditarik balik daripada dijadikan buku teks sekolah.

“Jika kerajaan BN bertegas tidak mahu menarik balik, sebaliknya meneruskan perkara yang menyinggung perasaan masyarakat India sudah tentu BN akan menerima pengajaran pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Sebelum ini Muhyiddin berkata, novel Interlok akan kekal digunakan sebagai teks komponen sastera mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian yang dianggap sensitif.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pindaan itu dibuat selepas panel bebas mengkaji novel Interlok telah mengenal pasti bahagian yang dianggap sensitif itu.

Novel karya Abdullah menimbulkan kontroversi berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilih novel itu sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini kerana didakwa terdapat perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.

Sebelum ini, beberapa badan mewakili masyarakat India termasuk MIC meminta Putrajaya menarik balik novel Interlok daripada digunakan sebagai bahan teks sastera Tingkatan Lima.

Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (NIAT) telah memulakan kempen meminta pelajar-pelajar yang dibekalkan novel kontroversi Interlok, yang jumlahnya dianggarkan 180,000 orang di Zon 2, agar memulangkan kepada pengetua masing-masing sebagai tanda protes.

“Konsep 1 Malaysia menekankan perpaduan kaum tapi apa yang berlaku sekarang bertentangan dengan konsep yang dibawa Najib,” kata Kulasegaran.

Tiada ulasan: