Satu konsert yang dinamakan MTV World Stage akan diadakan di I-City yang letaknya di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada Julai ini. Dan ia dibantah oleh Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad atas alasan lokasinya tidak mempunyai infrastuktur sesuai untuk mengadakan konsert.
Mengikut laporan akhbar, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Atan menyifatkan acara itu akan dapat mempromosikan Bandaraya Shah Alam di peringkat antarabangsa serta menarik pelancong dari seluruh dunia.
Beliau juga dipetik sebagai berkata, Shah Alam dan i-City diiktiraf sebagai lokasi yang dilengkapi dengan kemudahan kelas pertama untuk sebarang acara bertaraf antarabangsa termasuk konsert itu yang akan menampilkan kumpulan “30 Second To Mars” iaitu pemenang Kumpulan Rock Terbaik di MTV Europe Music Award 2010 dan kumpulan tempatan, Pop Shuvit.
Dalam bantahannya, Khalid menggesa MBSA menarik balik kebenaran untuk mengadakan konsert itu di I-City.
“Saya minta pihak kerajaan berterus terang, apa sebenarnya yang hendak dibuat di situ. Jangan pakai imej (status) MSC tapi buat program (hiburan) di situ. Mereka dapat pelbagai pengecualian cukai dan pelbagai insentif, tapi buat perkara lain,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam semalam.
Apabila meneliti rasional bantahan ini, ianya agak berasas. Bagi saya, Khalid pada dasarnya tidak membantah penganjuran konsert, sebaliknya beliau mempersoalkan aspek lokasi dan infrastruktur. Dan I-City bukanlah premis yang sesuai untuk buat konsert besar yang bersaiz MTV World Stage ini.
Tidak mustahil bantahan yang sama akan dibuat jika konsert dibuat di tengah-tengah kawasan perumahan, di bangunan Dewan Undangan Negeri, di sebelah masjid dan sebagainya. Kesesuaian dan keselamatan penonton amat penting.
Bantahan ini Khalid ini saya sifatkan sebagai satu bantahan bermaruah dan rasional, terutama apabila datangnya PAS yang mana persepsi umum ialah akan sentiasa menolak sebarang konsert hiburan yang didakwa sebagai “budaya Barat” dan “budaya kuning”. Jika PAS mahu menjadi penjaga moral, adalah lebih baik jika ia berperang habis-habisan menentang rasuah dan salah guna kuasa. Sifat-sifat mulia orang Islam boleh dikembangkan untuk menentang gejala itu yang boleh menghancurkan masyarakat.
Tidak perlu mengaitkan konsert dengan budaya kuning, maruah, moral atau akhlak manusia kerana semua itu amat subjektif dan tidak menjurus kepada penyelesaian konkrit. Masyarakat, anak muda atau pelajar kini tahu batas-batas dan kewajaran buat mereka. Siapa pun penghibur atau pemuzik kerjanya mencari makan, anak-anak muda sering dihambat dengan pelajaran wajar diberi ruang untuk berhibur.
Ahli politik atau agama, wajar memberi panduan. Jalan keserdahanaan ini sudah memadai untuk membendung apa saja perkara yang kita semua tidak ingini. Jangan paksa orang lain tunduk kepada kehendak kita sahaja. Lagi pun memang fitrah anak muda suka hiburan tanpa melupakan tanggungjawab. “Maksiat” bukan dieksklusifkan kepada anak muda. Semua orang tahu video lucah politik yang disebarkan sekarang dilakukan oleh orang dewasa atau yang sudah separuh umur. Di mana batas akhlak mereka?
Maka, kita berpendapat bahawa sewajarnya kerajaan negeri Selangor menimbang bantahan tersebut. Ia bukan kerana anti-hiburan atau anti-anak muda atau anti itu dan ini, sebaliknya kita menyokong apa jua program asalkan ianya sesuai dengan masa, tempat dan keadaan tanpa menggunakan alasan sentimen atau memaksa rakyat tunduk kepada peraturan yang terlalu mengikat.
Rasional Datuk Bandar Shah Alam yang mahu mengadakan konsert itu pula, jika diperhalusinya dengan sabar, adalah sama seperti unjuran rasional orang-orang politik, khususnya dari UMNO dan Barisan Nasional. Apabila hendak menjustifikasikan sesuatu acara atau program yang akan dibuat, pasti mereka akan kaitkan dengan hal menarik pelancong, tempat tumpuan orang ramai atau menaikkan nama bandar di mata antarabangsa.
Malah nada ungkapannya akan berbunyi “ ini membuktikan ”, “ inilah pengiktirafan ”, “bertaraf antarabangsa” dan yang seumpamanya. Ini adalah skrip klise yang tak membawa apa-apa makna kepada masyarakat apatah lagi kepada anak muda.
Jika benar-benar jujur, kerajaan negeri Selangor harus menilai semula pendiriannya tentang konsert dan acara hiburan. Ketepikan soal klise, bawakan perkara-perkara asas seperti di mana sesuai konsert diadakan, jaminan keselamatan penonton, mutu peralatan serta permintaan daripada mereka yang mahukan konsert itu sendiri. Tangkap muat dan buat acara secara terpilih hanya mencerminkan cara UMNO dan BN melaksanakan agenda mereka. Selangor mampu berbuat sesuatu yang lebih baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan