Khamis, 5 Mei 2011

Bukan Islam berpeluang belajar di KUIN, kata MB Kedah

THE MALAYSIAN INSIDER

BALING— Pelajar-pelajar bukan beragama Islam juga layak melanjutkan pengajian di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata, tidak mustahil sekiranya ada pelajar bukan Islam yang berminat menyambung pengajian di KUIN kerana institusi itu kini menawarkan lebih 40 program dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, multimedia dan kejuruteraan.

“Bagi program perubatan, kita akan terima kemasukan pertama pada Julai atau September ini membabitkan lebih 50 pelajar. Kita sudah ada pakar-pakar dalam bidang ini kerana Malaysian Medical Council telah menetapkan bahawa perlu ada pakar untuk menawarkan program ini,” katanya dipetik Bernama.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau perkembangan pembangunan kampus tetap KUIN di Kuala Ketil di sini semalam, beliau berkata, bagaimanapun pelajar-pelajar bukan Islam itu perlu juga mengambil kursus-kursus wajib yang berteraskan kefahaman dalam agama Islam.

Sementara itu Pengerusi Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Mohd Saad Endut berkata fasa pertama pembinaan kampus KUIN membabitkan tanah seluas hampir 130 hektar, yang bermula September 2009 dijangka siap Februari 2013.

“Sekarang pembinaan fasa pertama ini sudah siap 23 peratus dan ia lebih satu peratus daripada sasaran kami iaitu 22 peratus dan ini adalah sesuatu yang sangat baik,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan tanah untuk fasa pertama itu adalah sebahagian daripada keseluruhan tanah seluas lebih 330 hektar yang bakinya disimpan untuk pembangunan masa depan.

Tiada ulasan: