Khamis, 12 Mei 2011

Bawa PKR dan DAP bersama - Nik Aziz

Rizal Tahir


KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) hari ini memberikan syarat kepada Umno untuk membawa DAP dan PKR sekali jika benar-benar parti itu ingin menarik PAS bersama mereka.

Menurutnya lagi, PAS hanya akan menyertai Umno dan Barisan Nasional jika DAP dan PKR juga bersama-sama. Itu pun jika kedua-dua parti itu setuju berbuat demikian.

Tambahnya, PAS hanya akan menyertai parti itu sekiranya dua parti tersebut bersetuju berbuat demikian dan Umno pula mesti menerima kedua-duanya.

“Kalau mereka tolak, bererti PAS juga akan menolaknya sebab kita bergabung mengikut perjanjian yang telah ditetapkan. Yang paling besar sekali gabungan itu mesti berlandaskan Islam,”ujarnya.

Beliau mengulas ajakan bertalu-talu Umno agar PAS menyertai Umno dalam BN kononnya untuk kepentingan Melayu dan Islam.

Untuk tujuan itu, Umno berusaha keras memburuk-burukkan rakan PAS dalm Pakatan Rakyat termasuk menyebarkan berita kononnya DAP berusaha menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi negara kononnya untuk membolehkan orang Kristian menjadi Perdana Menteri.

Bagi para penganalisis, tujuan Umno bukannya mahukan DAP tetapi mereka mahu memburukkan PAS yang akan dilebelkan sebagai sanggup duduk bersama dengan parti yang mahu merosakkan Islam dan meletakkan Kristian sebagai agama rasmi.

Dalam pada itu, Nik Aziz juga turut mempertikaikan apa jaminan Umno tidak menikam PAS dari belakang sebagaimana yang dilakukan parti itu kepada PAS semasa PAS berada dalam Bn sebelum ini.

Antaranya meletakkan calon mereka dalam kawasan yang diperuntukkan kepada PAS.

Apakah jaminan Umno tidak akan meletakkan calon Bebas di setiap Dun atau Parlimen yang ditandingi calon dari PAS, PKR dan DAP sebagaimana yang pernah dilakukan sewaktu PAS bersama dalam BN sebelum ini, soal beliau.

Menurutnya, akibat tindakan itu calon PAS yang bertanding di Kelantan pada tahun 1978 jatuh tersungkur.

“Perkara ini sebenarnya yang harus dipikir oleh semua pihak, orang yang sentiasa buat dosa tidak akan pernah berdiam diri dan akan mengulanginya lagi,”ujarnya lagi.

Bagi Nik Aziz, biarpun usia Umno telah menjangkau 65 tahun, namun parti itu masih teraba-raba dan tiada hala tuju dalam perjuangan sehingga meminta bantuan PAS untuk menjadi penongkatnya.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika mengulas sambutan 65 tahun Umno semalam.

Katanya, sepanjang tempoh itu terutama sekarang ini, Umno tidak habis-habis memohon PAS menyertai semula parti itu.

Katanya lagi, kerana gagal mentadbir negara dengan pelbagai masaalah yang mengundang terutama gejala sosial, rasuah, menyebabkan parti itu lupa PAS adalah musuh politiknya hingga terpaksa memujuk parti itu bersama mereka.

Tiada ulasan: