Jumaat, 1 April 2011

Wong Jangka Laluan Berliku Pertahan Bawang Assan

BERNAMA

SIBU : Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Datuk Seri Wong Soon Koh, 68, menjangkakan tentangan dan cabaran sengit dalam usahanya mempertahankan kerusi Bawang Assan pada pilihan raya negeri 16 April ini.

Tidak dinafikan bahawa Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu itu bakal dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi buat penggal kelima sejak memenangi kerusi itu pada kali pertama dalam pilihan raya negeri 1991.

Tentangan sengit dijangka daripada DAP, yang bercadang meletakkan pengerusi Wanita Sibu parti itu, Alice Lau untuk bertanding dalam kerusi yang mengandungi kawasan bandar dan pinggir bandar.

Lau, seorang ahli farmasi lulusan University of Strathclyde, Glasgow, akan menjadi calon wanita yang pertama menentang Wong.

Pertandingan kali ini menjadi lebih sukar bagi Wong kerana bapa Lau, Datuk Lau Cheng Kiong, merupakan sahabat lamanya, yang juga Pengerusi Parti Demokratik Progresif Sarawawk (SPDP) cawangan Pelawan, satu daripada parti komponen BN Sarawak. Beliau juga seorang tokoh perniagaan dan penasihat Persatuan Cina Bersatu (UCA) Sibu.

Apa jua rintangan yang datang, Wong tidak gusar untuk berhadapan siapa pun lawannya pada pilihan raya negeri ke-10, yang hari penamaan calon ditetapkan pada 6 April dan pengundian 16 April.

"Saya mengharapkan satu pertandingan yang saksama... tiada politik wang atau taktik kotor serta serangan peribadi atau pendekatan politik ganas," kata Wong ketika ditemui di Sibu baru-baru ini.

Wong boleh mengharapkan sokongan kukuh berterusan daripada pengundi keturunan Iban dan Cina di kawasan luar bandar. Kedua-dua kelompok masyarakat itu merupakan dua pertiga daripada jumlah keseluruhan 16,844 pengundi.

Pengundi Iban daripada lebih 100 rumah panjang dan kaum Melanau, khususnya dari Kampung Bungan Besar dan Kampung Bungan Kecil merupakan "simpanan tetap" Wong.

Sekurang-kurangnya 80 peratus daripada mereka adalah pengundi tradisinya.

Satu pertiga pengundi lagi terdiri daripada pengundi Cina bandar, kumpulan yang lebih mudah dipengaruhi dan mengalih sokongan.

Wong turut mengharapkan kepada peralihan sokongan politik yang memihak BN seperti dicerminkan dalam enam pilihan raya kecil di Semenanjung dan satu di Sabah tahun lepas, untuk memberi impak kepada kawasan setempat.

Rasa tidak puas hati terhadap parti pembangkang, PKR dan keupayaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan, diharap memihak kepada BN.

Wong telah bersedia dan berusaha keras menghadapi apa jua tentangan. Beliau biasa dengan penduduk rumah panjang, kampung dan perkampungan Cina pinggir bandar di Sungai Sadit, Sungai Bidut, Engkilo, Empawah, Telok Bango dan Paradom.

Isu-isu mengenai keperluan hidup akan menjadi tumpuan di Sibu dan bukannya isu seperti Tanah Hak Adat (NCR), seperti yang dibangkitkan di kawasan luar bandar lain di Sarawak.

"Setakat yang saya tahu, malahan DAP sedang meningkatkan kempen mengenai keperluan "Ubah" yang bermaksud perubahan dalam Iban. DAP cuba untuk memikat orang ramai dengan memainkan isu perlunya mengubah kerajaan negeri, pemimpin negeri," katanya.

Wong berkata beliau tidak terkecuali daripada kempen mencemarkan nama baik dan serangan peribadi termasuk dakwaan pihak tertentu yang mendakwa pemimpin kerajaan mendapat wang sogokan hasil pelaksanaan projek kerajaan.

"Serangan sebegitu ada ketikanya menimbulkan kegelisahan dan menguji semangat seseorang.

"Saya bertindak betul. Tidak semua projek di bawah kawalan saya terutamanya yang dibiayai Kerajaan Persekutuan. Yang lain dikawal oleh jabatan dan agensi negeri," katanya.

Jika ada pun reputasi Wong yang kurang baik di kalangan pembangkang, ia pastinya label "raja usul" yang merujuk beliau ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya membentangkan usul untuk menghalang mereka (Pakatan Rakyat) daripada menghadiri sidang dewan kerana membuat dakwaan tanpa disokong bukti. Lima wakil rakyat pembangkang setakat ini telah digantung.

"Jika anda hanya ingin memberi tumpuan untuk memperlekehkan kerajaan, publisiti negatif hanya akan menghalau kemasukan pelabur-pelabur asing yang amat diperlukan dan bank-bank tidak mungkin berupaya memberikan pinjaman," hujahnya.

Sekiranya ada agenda tertangguh yang Wong harap dapat menyudahkannya sebelum meninggalkan dunia politik, ia adalah mengenai pembinaan lebih banyak jalan dan kemudahan awam di kawasannya serta mengatasi masalah banjir yang sering dihadapi penanam sayur di situ.

"Saya bangga kebanyakan rumah panjang kini boleh dihubungkan terus ke Sibu dan penduduk meletakkan kereta di hadapan rumah panjang. Jalan raya di kawasan perladangan yang dibina pemilik ladang kelapa sawit banyak membantu," katanya.

NONEBeliau berkata lebih daripada 80 peratus daripada penduduk sudah mempunyai kemudahan bekalan air bersih dan elektrik. Pada Jun tahun ini, projek bernilai RM6.7 juta untuk meningkatkan kemudahan bekalan air bersih akan dilancarkan di Bawang Assan.

Satu faktor yang menyebabkan Wong tidak tidur lena adalah majoritinya yang berkurangan kepada 2,504 undi pada pilihan raya negeri 2006 daripada 7,096 undi pada 2001.

Pada 2001, terdapat 17,314 pemilih berdaftar dengan 11,920 keluar mengundi manakala pada 2006 hanya 11,172 daripada 16,844 pemilih berdaftar (selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya) menunaikan tanggungjawab mengundi mereka.-

Tiada ulasan: