Oleh Clara Chooi
KUALA LUMPUR, Majoriti rakyat Malaysia berpandangan pendedahan rakaman video seks oleh tiga “Datuk T” termasuk diakui sendiri oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan rakannya bermakna berkemungkinan skandal itu didalangi Barisan Nasional (BN).
Kajian kendalian firma bebas Merdeka Center baru-baru ini menunjukkan 39 peratus daripada 504 responden menuding jari ke arah BN dan Umno ekoran pendedahan video tersebut dua minggu lalu.
Pun begitu ramai juga yang sangsi dengan kemungkinan itu memandangkan 38 peratus mengatakan mereka tidak tahu.
Hanya 18 peratus dengan tegas mengatakan BN tidak terlibat dalam kontroversi itu yang menunjukkan seorang lelaki, didakwa pemimpin kanan Pakatan Rakyat, mengadakan hubungan seks dengan pelacur asing.
Hasil kajian yang diperoleh The Malaysian Insider semalam dikendalikan antara 24 dan 27 Mac lalu.
Daripada 504 responden yang ditemui, 85 peratus sedar kewujudan video itu manakala 15 peratus mengatakan mereka tidak tahu.
Ada banyak ruang kabur (dalam pandangan) di kalangan orang ramai, kemungkinan disebabkan ketidakpastian, sesetengah (pula masih) teragak-agak atau memang kurang maklumat apabila bercakap mengenai Anwar, memandangkan kebanyakan maklumat yang ada mengenai beliau adalah (condong kepada) satu pihak dan negatif,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian mengenai hasil kajian itu.
Ketika menemui pemberita tiga hari selepas pendedahan rakaman itu, Abdul Rahim yang juga bekas ketua menteri Melaka dan bekas ketua Pemuda Umno pusat berkata, beliau mengulangi pendiriannya meminta pemimpin pembangkang yang dirujuknya sebagai “si polan” supaya meletak jawatan atas factor liabiliti, seperti yang dilakukan olehnya ketika berdepan dakwaan merogol gadis bawah umur kira-kira 17 tahun lalu.
Beliau berkata tindakannya meletak jawatan sebagai ketua menteri Melaka adalah kerana permintaan Anwar pada ketika itu, yang menyifatkannya sebagai bebanan kepada Umno selain faktor semangat kesetiaan kepada kepentingan-kepentingan negara walaupun mahkamah kemudian mendapatinya tidak bersalah.
“Dia (Anwar) kata saya jadi liabiliti walaupun tak bersalah dan telah dibuktikan di dalam mahkamah. Saya berhenti. Jadi, hari ini saya harap Anwar ikutlah contoh saya. Rakyat yang taat setia dan menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan negara,” katanya.
Anwar sebelum ini menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan polis terbabit dalam pendedahan rakaman video seks kononnya beliau mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita tidak dikenali di hotel Carcosa Seri Negara bulan lalu.
Najib dan Hishammuddin masing-masing presiden dan naib presiden Umno kemudian menafikan penglibatan mereka dalam rakaman berkenaan.
Minggu lalu, Hishammuddin berkata beliau akan memfailkan saman terhadap Anwar yang mengaitkan beliau dalam kes video seks itu.
Pada satu perhimpunan di Shah Alam 28 Mac lalu, seminggu selepas pendedahan rakaman video seks itu, Anwar menegaskan, pendedahan dibuat “Datuk T” tidak akan sesekali “membunuh” karier politiknya.
Sebaliknya, tegas Ketua Umum Pakatan Rakyat itu, hidup dan mati beliau bukan terletak di tangan Umno-BN tetapi Allah s.w.t.
“Kalau nak mati, saya mati... bukan mati karier politik.
“Hidup mati saya di tangan Allah bukan Umno-BN... belum tentu Umno-BN mampu bertahan tanpa rakyat Malaysia,” katanya.
Pada September 1998, Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.
Beliau dibebaskan dari penjara akhir 2004 dan menjadi pengikat PKR-PAS-DAP sehingga Pakatan Rakyat dibentuk tiga tahun lalu.
Anwar berkata, “isunya sekarang adalah kerana Pakatan Rakyat nak ambil pemerintahan negara.”
Selain Abdul Rahim, dua “Datuk T” yang lain ialah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.
Ketiga-tiga mereka merupakan ahli politik dan perniagaan terkenal dalam lingkungan BN-Umno ketika era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anwar, juga Ketua Umum PKR, turut menyifatkan Abdul Rahim sebagai “jaguh baru” yang dipilih Umno-BN untuk menjatuhkan maruah dan imejnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan