Isnin, 18 April 2011

Video seks: PKR percaya AG akan tetap dakwa Anwar


KUALA LUMPUR– Parti Keadilan Rakyat (PKR) percaya Peguam Negara akan tetap mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun siasatan polis tidak mengaitkan Ketua Umum Pakatan Rakyat itu dengan rakaman video aksi seks yang dipertontonkan oleh “Datuk T” bulan lalu.

Siasatan rakaman video aksi seks yang didedahkan “Datuk T” pada 21 Mac lalu disiasat mengikut Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata laporan lengkap siasatan itu akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada bila-bila masa dari sekarang untuk tindakan selanjutnya dan disiasat atas kesalahan mengedar bahan lucah.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memberitahu pihaknya percaya yang Peguam Negara akan tetap mencari jalan untuk mendakwa Anwar walaupun beliau tidak terlibat dalam rakaman itu.

“Siasatan polis mendapati tidak ada sebarang asas undang-undang untuk mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam video itu kerana jelas beliau tidak ada kena mengena, ia juga selari dengan penafian yang telah dibuat beliau.

“Walau bagaimanapun kami yakin Peguam Negara di bawah arahan Barisan Nasional (BN) akan tetap mencari jalan untuk mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas beliau, tindakan itu akan diambil bertujuan untuk menghancurkan karier politik Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

“Ini kerana seluruh episod konspirasi ini direka bertujuan menghancurkan kerjaya politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini tidak mustahil kerana sebelum ini situasi sama berlaku di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim dihadapkan ke mahkamah dan difitnah atas dua tuduhan liwat, walaupun beliau tidak melakukankanya,” kata Saifuddin merujuk dua tuduhan kes liwat terhadap Anwar pada 1998 dan terbaru pada 2008 yang melibatkan Mohd Saiful Azlan Bukhari.

Tambah Ahli Parlimen Machang itu, pihaknya kesal dengan tindakan BN yang terus menggunakan politik kotor demi mengekalkan kuasa politik.

Tiada ulasan: