Selasa, 12 April 2011

TNC: Rayuan dua pelajar UM digantung didengar minggu depan


KUALA LUMPUR— Dua penuntut Universiti Malaya (UM) termasuk seorang pemimpin pelajar, yang digantung selama satu semester, akan dipanggil Jawatankuasa Rayuan pusat pengajian tinggi itu untuk membela diri, kemungkinan minggu depan.

Kedua-dua penuntut itu digantung kerana didapati bersalahmemalsukan sijil sakit ketika pilihan raya kampus Februari lalu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UM Prof Dr Rohana Yusof mengesahkan perkara itu.

Selain digantung, kedua-dua penuntut itu dikenakan denda RM200.

“Bagaimanapun mereka sudah menghantar surat rayuan, jadi Jawatankuasa Rayuan akan memanggil mereka dalam masa terdekat... mungkin minggu depan,” kata Rohana.

Tambah beliau, kedua-dua penuntut itu digantung serta-merta selepas Jawatankuasa Tatatertib bermesyuarat hujung bulan lalu.

“Status mereka sekarang adalah digantung, Jawatankuasa Tatatertib sudah putuskan.

“Mereka membela diri di hadapan Jawatankuasa Rayuan,” katanya.

Sebelum ini, Rohana berkata kedua-dua penuntut itu didapati bersalah kerana memalsukan sijil sakit dan telah digantung selama satu semeter atas kesalahan tersebut.

Kata beliau, bagi penuntut yang memenangi kerusi umum Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM selain digantung satu semester dia juga digugurkan daripada menganggotai badan tersebut.

Kedua-dua pelajar terbabit adalah penuntut tahun kedua dengan masing-masing menuntut di Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sastera.

Tiada ulasan: