Isnin, 25 April 2011

Tiga pemimpin dipecat Samy kejut MIC kembalikan jawatan



Mugilan dipecat 11 bulan lalu selepas mencabar Samy Vellu agar melepas jawatan. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Tiga pemimpin MIC pusat, yang telah dipecat Datuk Seri S. Samy Vellu tahun lalu, terkejut dengan keputusan parti itu menerima semula mereka dan mengembalikan jawatan terakhir masing-masing.

“Ya, saya terkejut,” kata V. Mugilan yang merupakan timbalan ketua Pemuda MIC pusat ketika dipecat 11 bulan lalu oleh Samy Vellu ekoran tindakannya mencabar beliau agar melepaskan jawatannya dengan segera, menjelang penghujung 2010.

“Kini, saya gembira untuk kembali semula ke pangkuan parti selepas 11 bulan. Sepanjang 11 bulan lalu saya bertemu dengan ahli-ahli bukan parti dan masyarakat India di seluruh negara.

“Mereka berkongsi masalah mereka dan pelbagai idea membangunkan masyarakat India,” kata beliau yang juga bekas ketua Pemuda Selangor.

MIC Selangor turut diketuai oleh Presiden parti Senator Datuk G. Palanivel.

“Saya sudah merangka satu pelan eksklusif untuk golongan muda India. Saya akan mendedahkan pelan ini selepas berbincang dengan presiden parti.

“Saya akan bekerja kerjas sepanjang masa untuk membawa kembali sokongan golongan muda kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang,” kata beliau dari MIC bahagian Hulu Selangor, yang turut diketuai Palanivel.

Dalam keputusan semalam yang memang telah dijangkakan, Palanivel berkata, semua ahli MIC yang telah disingkir atau keluar parti sebelum ini akan diterima kembali dan dikekalkan jawatan mereka, tetapi dengan syarat.

Beliau berkata mereka yang telah disingkirkan diberi tempoh selama 30 hari bermula hari ini untuk mengemukakan surat rayuan bertulis kepada parti.

Keputusan untuk memberi peluang kali kedua itu diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada mesyuarat malam tadi.

“Ahli-ahli yang kita dah singkir dari parti selepas Mac 2008, CWC telah memutuskan untuk memberi peluang kepada semua yang telah disingkir, dipecat atau keluar untuk kembali semula menganggotai parti,” kata Palanivel sambil menambah, jika mereka dipilih pada pilihan raya parti September 2009, mereka berhak untuk mendapat kembali jawatan mereka,” katanya.

Selain Mugilan, turut diterima ialah dua bekas anggota CWC iaitu Kumar Aamaan dan KP Samy.

Ketiga-tiga mereka menganjurkan kempen Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) tahun lalu.

Dalam pada itu, Kumar juga terkejut dengan keputusan diumumkan malam tadi.

“Saya memang terkejut dan gembira dengan keputusan ini... kami masih boleh bekerja untuk parti komponen BN ketiga terbesar ini,” katanya lagi.

“Ini satu kejayaan kepada perjuangan kami,” kata Kumar yang mengakui dalam surat rayuan ada meminta agar mereka bertiga dikembalikan jawatan masing-masing.

Samy pula berkata beliau sudah menjangkakan keputusan itu memandangkan presiden baru parti telah memberi jaminan bahawa akan menerima balik bekas ahli dan pemimpin yang disingkirkan ataupun memutuskan untuk keluar parti ketika era Samy Vellu.

“Ini kali ketujuh saya kembali ke pangkuan parti selepas dua kali dipecat, dua kali digantung dan dua kali cawangan saya ditutup,” kata pemimpin MIC dari Klang ini.

Tiada ulasan: