Khamis, 28 April 2011

Tiada kelulusan projek nadir bumi di Bukit Merah, kata Perak


KUALA LUMPUR— Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) menjelaskan kerajaan negeri tidak meluluskan sebarang projek nadir bumi di Bukit Merah kepada mana-mana syarikat.

PKNP, sayap pelaburan negeri Perak berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 18 April dengan CVM Minerals Limited dari Hong Kong hanya membenarkan firma itu untuk mengkaji elemen daya maju operasi perlombongan nadir bumi di Bukit Merah.

“Kedua-dua pihak berhasrat untuk mengadakan kajian kebolehlaksanaan atau eksplorasi mengenai viabiliti perlombongan nadir bumi.

“PKNP dan CVM tidak berhasrat untuk membangunkan apa-apa projek memproses nadir bumi di Perak,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Samsudin Hashim dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Kata beliau, tempoh hayat MoU itu hanya enam bulan dan akan terbatal secara automatik jika firma itu tidak memperoleh sebarang kelulusan daripada mana-mana pihak berkuasa tempatan atau jika projek itu tidak berdaya maju.

Samsudin juga berkata, tiada “kesan terikat” MoU ke atas kedua-dua pihak dan CVM akan menanggung keseluruhan kos kajian daya maju.

“Jika kajian daya maju itu menyentuh kemungkinan diadakan perkongsian, ia akan bergantung pada kelulusan daripada kedua-dua pihak,” katanya.

Tiada ulasan: