Selasa, 26 April 2011

Tiada Bukti Ean Yong Hian Wah Salah Guna Wang Peruntukan

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock diberitahu ekoran kematian Teoh, tiada bukti dapat menunjukkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah terlibat dalam penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Pemangku Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, Ahmad Shafik Abdul Rahman "Melalui keterangan daripada seorang ahli perniagaan Lee Wye Wing, dokumen itu dihantar kepada Teoh melalui e-mel untuk dirujuk sebelum harga ditentukan oleh Ean (Yong Hian Wah)".

Ahmad Shafik, yang merupakan saksi ke-50 suruhanjaya itu, menjelaskan Lee hanya berurusan dengan Teoh dan tidak pernah berurusan terus dengan Yong dan jika program yang dilaksanakan mempunyai peruntukan, Teoh akan memberi lampu hijau kepada Lee.

Beliau berkata setelah projek dilaksanakan, Yong akan mengeluarkan tuntutan kepada pejabat daerah dan pegawai daripada pejabat berkenaan mengesahkan sama ada projek itu dilakukan atau tidak dan jika dilaksanakan, maka bayaran akan dibuat.

Ahmad Shafik memberitahu suruhanjaya bahawa RM600,000 diperuntukkan kepada Yong selaku Exco Selangor dan beliau dipertanggungjawabkan bagi peruntukan Kuala Kubu Baru yang dipanggil sebagai ADUN angkat.

Ketika disoal Awang Armadajaya mengenai bayaran sebanyak RM3,754.76 yang dibayar kepada DAP Serdang Aman, Ahmad Shafik berkata: "Bayaran itu diberikan kepada DAP Serdang Aman sebagai pembayaran balik terhadap wang pendahuluan yang dibuat DAP".

Ketika ditanya pengerusi suruhanjaya, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen adakah terdapat dokumen sokongan yang menyatakan wang pendahuluan dibuat oleh DAP Serdang Aman, Ahmad Shafik berkata: "Lee ada menyerahkan resit-resit yang menyatakan bahawa terdapat bayaran pendahuluan dibuat oleh DAP dan resit itu diperoleh daripada ahli DAP sendiri".

Beliau menjelaskan pihak DAP perlu mendahulukan wang untuk melaksanakan projek kerana kebiasaannya bayaran tidak diperoleh secara terus dan mungkin memakan masa satu hingga dua minggu.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S. Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom. Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Tiada ulasan: