Sabtu, 2 April 2011

SPRM: Operasi 3b tahan 62 pegawai Kastam, isteri

TERKINI


Sebahagian wang tunai dirampas daripada pegawai-pegawai kastam yang ditahan oleh SPRM. – Foto ihsan SPRM

PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengadakan Operasi 3b awal minggu ini telah menahan seramai 62 pegawai Kastam Diraja Malaysia di seluruh negara termasuk seorang pegawai kanan dari Pahang dan isterinya.

Operasi itu diadakan untuk menyelamatkan agensi di bawah Kementerian Kewangan itu yang kehilangan hasil negara dianggarkan RM3 bilion.

Isteri yang ditahan itu juga merupakan pegawai kastam yang bekerja di pejabat yang sama.

Daripada 62 orang itu, seramai 53 adalah lelaki manakala sembilan wanita – kesemuanya pegawai Kastam pelbagai pangkat.

Mereka ditangkap dalam dalam satu pasukan petugas yang diketuai SPRM, dan disertai Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Peguam Negara.

Kenyataan dikeluarkan SPRM menyebut, tangkapan dalam operasi bersepadu dengan beberapa agensi tersebut bermula Isnin lepas adalah bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Akta Kastam 1967 dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001.

Operasi itu, menurut SPRM, dijalankan berikutan tohmahan terhadap pegawai-pegawai kastam di pelabuhan-pelabuhan seluruh Malaysia yang dikatakan telah meminta dan menerima wang rasuah daripada syarikat penghantaran dan ejen-ejen bagi mengurangkan duti kastam serta mempercepatkan pemprosesan borang pengisytiharan Kastam.

Operasi yang dijalankan seluruh negara dengan tumpuan di lima pelabuhan utama negara iaitu Pelabuhan Klang, Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Tg Pelepas dan Pasir Gudang menunjukkan ada di antara pegawai kastam menerima antara RM100 hingga RM500 bagi setiap Borang K1 yang diproses.

“Dalam operasi yang dijalankan ini, SPRM juga telah menyita akaun seorang pegawai yang mempunyai simpanan sebanyak RM850,000, seorang lagi memiliki hampir setengah juta serta mempunyai kereta mewah dan seorang lain pula didapati memiliki RM70,000 dalam akaunnya yang diterima melalui tujuh transaksi setiap satunya RM10,000.

“SPRM juga berjaya merampas wang tunai daripada beberapa orang pegawai kastam setelah mendapati mereka memiliki wang tunai dalam jumlah besar, antara yang dijumpai ialah RM625,250 dalam bentuk tunai dalam tiga beg berasingan, dan juga simpanan Amanah Saham Baru (ASB) berjumlah RM200,000 dan jam tangan mewah berjenama diperbuat dari emas,” kata kenyataan itu.

Selain itu, seorang pegawai kastam juga turut memiliki dua unit pistol tiruan beserta 241 butir peluru.

Tiada ulasan: