Jumaat, 22 April 2011

Sivarasa: Siapa dalang disebalik ‘Siapa Anwar’?

FREE MALAYSIA TODAY

Beliau menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memaklumkan kepada orang ramai siapakah yang dikenalpasti polis pada 1999 sebagai pihak dibelakang video seks 1999.



PETALING JAYA: Ahli Biro Politik PKR Sivarasa Rasiah menggesa pihak polis menyiasat siapa dalang di sebalik video seks bertajuk ‘Siapa Anwar’ yang kononnya melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diedarkan beberapa hari sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) November 1999.

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau menggesa Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar memaklumkan kepada orang ramai siapakah yang dikenalpasti polis pada 1999 sebagai pihak dibelakang video seks 1999.

“PKR menggesa KPN untuk memaklumkan kepada orang ramai apakah tindakan yang diambil terhadap pihak yang dikenalpasti dibelakang video seks 1999 itu,” katanya.

Semalam, FMT memetik isi kandungan surat bertarikh 18 April daripada bekas pegawai polis Dato’ Mat Zain Ibrahim kepada KPN meminta disiasat siapakah dalang di sebalik pembikinan dan penyebaran video seks yang diistilahkan sebagai Video Seks Pertama
1999.

Mat Zain mengakui bahawa selain dari Video Seks Kedua 2011 yang kononnya turut melibatkan Anwar terdapat Video Seks Pertama 1999 tetapi tidak dapat dikenalpasti siapakah yang mengedarkan kepada orang ramai menjelang PRU 1999.

Beliau turut mengaitkan bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dengan video yang muncul pada 1999, bermotifkan balas dendam terhadap Anwar.

“Ini memandangkan Anwar telah membuat laporan polis pada 20 Ogos 1999 daripada penjara Sg Buluh terhadap Rahim yang menuduh tindakan jenayah dan rasuah oleh Rahim, hanya tiga bulan sebelum kemunculan video 1999 tersebut,” ujar Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang.

Tiada ulasan: