Sabtu, 23 April 2011

Selangor tak restui perobohan kediaman secara paksa

Aziz Muda


SHAH ALAM: Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor tidak pernah merestui perobohan secara paksa sebarang kediaman warganegara Malaysia, kecuali setelah mencapai satu penyelesaian hasil rundingan yang diadakan.

Pendirian itu perlu difahami dan dan dihormati oleh kesemua pemaju, walaupun mereka telah mendapat perintah mahkamah untuk mengeluarkan sesebuah keluarga dari tanah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Iskandar Abdul Samad (gambar) menegaskan, sehubungan itu semua penguatkuasa-pengkuatkasa pihak berkuasa tempatan dan majlis daerah dilarang sama sekali terlibat di dalam sebarang perobohan seperti itu.

Menurut beliau, sejajar dengan itu pemaju Peter's Brickworks Sdn Bhd turut digesa agar meneruskan rundingan dengan penduduk walaupun mereka telah mendapat perintah mahkamah berhubung perkara itu.

Katanya, walaupun pemaju Peter's Brickworks Sdn Bhd telah mendapat perintah mahkamah untuk mengeluarkan 3 keluarga yang berada di atas tanah mereka, HSD 243799 PT 1777 di PJS1, Petaling Jaya, tetapi pendirian kerajaan Pakatan Rakyat Selangor itu tetap perlu dihormati oleh mereka.

"Oleh itu, diharapkan agar pihak pemaju akan meneruskan rundingan walaupun mereka telah mendapat perintah mahkamah agar keluarga-keluarga itu perlu berpindah pada 25 April 2011," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang juga Adun Chempaka menjelaskan, amalan perobohan kediaman secara paksa hanyalah dilakukan di bawah kerajaan negeri Barisan Nasional (BN), tetapi di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, tindakan seperti itu tidak direstui sama sekali.

"Di bawah kerajaan BN Selangor yang lepas, mereka bukan sekadar tidak merestui tindakan seperti itu, malah mereka sendiri yang turut bersama-sama pemaju terlibat di dalam operasi perobohan kediaman.

"Itulah antara perbezaan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan kerajaan BN Selangor yang dulu yang perlu disedari dan difahami setiap pihak termasuk pihak pemaju," tegasnya.

Malah lebih jauh dari itu, katanya, semua pihak perlu sedar Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak hanya sekadar berjanji untuk melaksanakan tanggungjawabnya kepada orang ramai di pelbagai peringkat, tetapi berusaha melaksanakannya dengan sebaik mungkin demi kepentingan rakyatnya.

Jika para pemimpin BN terdahulu dilihat oleh pelbagai pihak hanya sekadar pandai berjanji sahaja kepada orang ramai, tetapi sikap dan tindakan pemimpin-pemimpin Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ternyata berbeza sama sekali dengan mereka.

Tiada ulasan: