Selasa, 19 April 2011

SB Terlibat 'Lantik' Pensyarah Universiti, Kata Syed

Ditulis oleh Nor Hafizan Mohd Taib



KUALA LUMPUR : Ahli Dewan Negara Senator Dr Syed Husin Ali mendedahkan bahawa selama ini Cawangan Khas (SB) bukan sahaja berperanan mempengaruhi keputusan yang dibuat kerajaan terhadap malah turut campurtangan dalam pelantikan pensyarah universiti.

Dr Syed Husin berkata, beliau turut menyifatkan tindakan tersebut lebih bahaya dan teruk dari campurtangan politik.

“Sekarang ini diketahui bahawa seseorang pemohon untuk menjadi pensyarah akan ditapis. Sebelum ia boleh diterima, namanya dirujuk kepada pihak keselamatan (biasanya SB) untuk dikaji dan dihalusi latar belakangnya.

“Hanya selepas dibersih atau diluluskan oleh pihak SB barulah tawaran jawatan dihantar kepadanya. Biasanya hubungan dan pendirian politik calon itupun boleh menjadi alasan menyekat perlantikan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Menurut Dr Syed Husin, selain pensyarah, pihak polis cawangan khas turut mempengaruhi keputusan dalam pelantikan seseorang profesor Emeritus, yang dilihat tidak sehaluan dengan kerajaan.

“Bahkan lebih buruk lagi diketahui bahawa SB campur tangan dalam hal perlantikan Profesor Emeritus. Gelaran ini diberi kepada seseorang yang telah berkhidmat selama tempoh tertentu di sesebuah universiti selepas ia bersara, atas dasar sumbangan dan kecemerlangannya dalam bidang akademik.

Menurutnya, terdapat kes di mana seorang bekas profesor yang terkenal dibatalkan gelaran Profesor Emeritus oleh sebuah universiti ulung di Malaysia kerana disekat SB.

“Badan-badan akademik dalam Universiti itu bersetuju mengaugerahkan gelaran ini kepada bekas Profesor berkenaan. Akan tetapi, apabila sampai ke peringkat Lembaga Universiti, campur tangan SB berlaku. Maka tidak jadilah gelaran itu dianugerah,” katanya.

Tiada ulasan: