Jumaat, 1 April 2011

Saidi kecewa agensi kerajaan lewat keluar lesen baiki, luruskan tebing Sg Pegalan

KENINGAU KINI

KENINGAU: Pengerusi JKKK Kampung Linsudan, Saidi Ekang, merasa kecewa terhadap agensi kerajaan berkaitan kerana lewat mengeluarkan lesen membaiki serta meluruskan tebing Sungai Pagalan di kawasan Kg. Linsudan menyebabkan sebuah jambatan gantung runtuh akibat hakisan sungai itu semalam.

Jambatan gantung menyeberang sungai Pagalan yang menelan belanja lebih 100 ribu ringgit itu dibina pada tahun 2009 sebagai perhubungan utama para penduduk kampung Marampung, Tohan Baru, Kg. Linsudan dan kampung-kampung berhampiran.

Menurut Saidi, Wakil Rakyat kawasan Sook merangkap Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin, yang telah melawat beberapa kali kawasan berkenaan pada penghujung tahun lalu telah bertindak segera dengan menemui sendiri Jurutera Jabatan Parit dan Saliran daerah Keningau untuk membincangkan cara penyelesaian penjagaan tebing sungai itu daripada terus terhakis.

Susulan daripada perbincangan di pejabat Jabatan Parit dan Saliran pada Disember tahun lalu itu yang turut disertai oleh Wakil Rakyat Bingkor, Datuk Justin Guka, satu jawatankuasa yang diketuai oleh WKAN Said Asmat dari Kampung Marampung telah diwujudkan sebagai badan bertindak di mana Jawatankuasa terbabit dianggotai oleh wakil-wakil dari enam kampung yang terlibat dengan hakisan iaitu Kampung Linsudan, Marampung, Tohan Baru, Kamayan Lama, Luanti dan Kg. Liau-Laut.

Saidi yang juga anggota Jawatankuasa bertindak itu berkata, atas sokongan serta bantuan daripada kedua-dua wakil rakyat Sook dan Bingkor, Jawatankuasa berkenaan telah memperolehi sebuah syarikat yang sudi melaksanakan kerja-kerja membaiki dan meluruskan sungai kawasan berkenaan dengan kos sendiri.

Bagaimanapun katanya, kelewatan agensi kerajaan berkaitan untuk pengeluaran lesen kepada syarikat berkenaan menyebabkan kerja-kerja membaiki dan melurus tebing Sungai Pagalan di kawasan itu, tidak dapat di mulakan walaupun beberapa jentera sudah dihantar di kawasan berkenaan sejak bulan Januari lalu.

“Birokrasi yang masih diamalkan pihak agensi kerajaan berkaitan dalam pengeluaran lesen kepada syarikat yang suka rela melaksanakan kerja tersebut menyebabkan banyak harta awam termasuklah harta kerajaan tidak dapat diselamatkan akibat daripada hakisan Sungai Pagalan di kawasan kampung berkenaan,” tambah Saidi, sambil memohon kepada kerajaan negeri supaya mengambil tindakan tegas kepada mana-mana agensinya yang merugikan.

Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) kawasan Sook, Charles Ikang, yang meninjau kerosakan jambatan itu turut berharap supaya pihak yang berkaitan dapat mengambil tindakan segera agar kerja-kerja pelurusan sungai Pegalan dapat dilaksanakan dengan segera.

Katanya, perkara ini adalah mendesak kerana jika tidak ia akan memusnahkan tanaman dan rumah penduduk jika hakisan tebing tidak terus berlaku.

Justeru itu katanya, pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan kebenaran atau permit kepada pihak pemaju perlu bertindak segera.

Tiada ulasan: