KUALA LUMPUR : Transparency International sayap Malaysia menolak arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz supaya “diam” dan “tidak masuk campur” selepas badan pemantau itu mengkritik “pemberian” projek dan wang kepada pengundi ketika pilihan raya sebagai rasuah.
"Sudah tentu ia rasuah. Apa lagi tafisiran yang boleh dibuat. Jika anda memberi seorang RM1,000 dan menyuruhnya untuk mengundi anda, kalau itu bukan rasuah, apa lagi,' kata Presiden TI-M Pau Low.
Dalam sidang akhbarnya semalam, Low turut menegur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan berkata badan itu kurang berwibawa untuk memastikan proses pilihan raya negara ini berjalan dengan bebas dan adil.
SPR sebelum ini turut mengambil ketetapan bahawa pemberian wang dan janji projek-projek oleh Barisan Nasional untuk pengundi semasa pilihanraya khususnya pilihanraya kecil bukan rasuah.
Amalan itu bagaimanapun dikritik hebat sebagai sogokan kepada pengundi oleh badan pemerhati pilihanraya dan parti pembangkang di negara.
Pada pilihanraya kecil Batu Sapi baru-baru ini, penduduk diberikan bumbung zing baru sehari sebelum mengundi untuk menyakinkan mereka supaya mengundi Barisan Nasional.
Pada pilihanraya kecil Hulu Selangor tahun lalu, masyarakat Cina dijanjikan peruntukan RM 3 juta untuk tabung sebuah sekolah jika calon BN menang.
Sehari selepas calon MIC P.Kamalanathan menang, Perdana Menteri Najib Razak memberi kelulusan untuk wang itu diberi kepada sekolah berkenaan.
Nazri berkata TI-M tidak mengambil kira kes mahkamah pada 1981 yang memutuskan Umno-BN tidak melakukan kesalahan jika mengumumkan sebarang peruntukan semasa kempen pilihanraya.
Namun kes itu hanya membabitkan pengumuman peruntukan dan bukannya sogokan seperti pemberian bumbung zink dan imbuhan wang yang diberi kepada pengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan