Jumaat, 22 April 2011

Rais: Bernama TV disusun semula dalam tiga bulan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Stesen televisyen Bernama TV akan disusun semula dalam tempoh tiga bulan bagi memenuhi kehendak asasnya, kata kerajaan.

Sehubungan itu kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, stesen televisyen bercorak berita itu yang dikendalikan secara usaha sama Bernama dengan pihak swasta kini mewakili kepentingan awam dan kerajaan.

“Saya telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri tindakan di sisi undang-undang telah diambil dan hak kepentingan Bernama TV itu dikembalikan oleh kerana tindakan-tindakan yang seharusnya dilakukan oleh pihak yang berusaha sama itu belum lagi direalisasikan,” kata beliau dipetik laporan media hari ini.

Utusan yang memetik laporan Bernama berkata kementerian itu sedang menyusun dengan Bernama TV tentang langkah-langkah yang boleh diambil supaya siarannya tidak terencat dan khidmat-khidmat media asasnya berjalan seperti yang dituntut.

Saluran berita Bernama memulakan siaran 24 jam pada Februari 2008 dengan menggunakan slogan “Baru & Benar”. Kandungan rangkaian beritanya merangkumi berita terkini, bisnes, gayahidup, sukan dan hiburan serta program yang tidak hanya terhad kepada muzik, filem, fesyen, makanan, rumahtangga dan kesihatan.

Kandungan beritanya sebahagian besarnya dalam Bahasa Malaysia sementara selebihnya dalam Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil dengan jenama Berita@BERNAMA, News@BERNAMA, Xin Wen@BERNAMA dan Seithigal@BERNAMA.

Tiada ulasan: