Selasa, 26 April 2011

Putrajaya akui ada majikan belum selaras gaji pengawal keselamatan

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR— Terdapat majikan yang belum menyelaraskan gaji minimum pengawal keselamatan mereka kerana masalah pengurusan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam.

Dalam pertemuan dengan persatuan-persatuan yang mewakili majikan pengawal keselamatan baru-baru ini, Subramaniam berkata beliau telah dimaklumkan bahawa mereka bersetuju untuk mematuhi peraturan baru supaya menyelaraskan gaji minimum pengawal keselamatan mereka.

“Mereka telah bersetuju dengan proses ini bagi menaikkan gaji pengawal keselamatan, cuma mereka mempunyai masalah dalam pengurusan dan pelaksanaan dan ia mengambil masa,” katanya hari ini.

Dipetik Bernama Online, Subramaniam (gambar) berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan tentang kelewatan pelaksanaan gaji minimum tersebut tetapi ia bukan bermakna majikan boleh menjadikannya sebagai alasan untuk tidak melaksanakan penyelarasan gaji tersebut.

Beliau berkata kementerian akan memantau pelaksanaan gaji baru tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap majikan yang ingkar.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) baru-baru ini dilaporkan mendakwa kira-kira 150,000 pengawal keselamatan di Semenanjung Malaysia masih belum dibayar gaji minimum yang berkuatkuasa Februari lalu.

Subramaniam berkata penyelarasan gaji pengawal keselamatan mengikut zon adalah wajar kerana mengambil kira kos di sesetengah kawasan yang berbeza pada masa sekarang dan untuk mengelakkan para majikan menanggung perbelanjaan yang tinggi bagi membayar gaji pengawal keselamatan.

“Kos mereka akan meningkat 100 peratus malah mungkin lebih hingga 200 dan 300 peratus sekiranya kita menetapkan gaji pengawal keselamatan dibayar sama rata seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya.

Pada 15 Februari lalu, kerajaan telah menguatkuasakan peraturan baru gaji minimum bagi pengawal keselamatan Semenanjung Malaysia di antara RM500 hingga RM700 dan skala gaji baru itu dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon A dengan gaji pokok RM550 dan elaun RM150 yang meliputi Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor Baharu selatan, Kota Tinggi, Kulaijaya dan Pontian.

Zon B memperuntukkan gaji pokok RM500 dan elaun RM100 merangkumi Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Terengganu, Kluang, Batu Pahat, Mersing, Muar, Ledang dan Segamat.

Untuk Zon C, gaji pokok ditetapkan pada RM450 dan elaun RM50 bagi Kedah, Kelantan dan Perlis.

Tiada ulasan: