Ahad, 3 April 2011

Protes Interlok: MP antara dua ditahan di Batu Caves

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Ahli Parlimen Teluk Intan M Manogaran dari DAP dan aktivis MS Arjunan yang mengadakan protes membantah novel kontroversial Interlok ditahan polis tengah hari tadi.

Kempen di pekarangan Batu Caves itu adalah sebahagian protes diadakan sejak lebih sebulan lalu membantah Interlok daripada digunakan sebagai buku teks sastera di sekolah menengah kerajaan.

Dalam mesej Twitternya, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata: “YB Mano Teluk Intan dan M.S. Arjunan dari (NGO) Tamil Students ditahan di Batu Caves kerana mengadakan demonstrasi menentang Interlok. Kata tidak buat BN.”

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata mereka ditahan sebagai langkah pencegahan.

“Mereka merancang untuk mengadakan perhimpunan haram di kawasan kuil, jadi kami menahan untuk mengekalkan keamanan,” katanya lagi.

Novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain empat dekad lalu berhadapan dengan polemik sejak awal tahun ini.

Pada 24 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu Parlimen bahawa kerajaan bersetuju dengan dapatan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, panel bebas itu berpendapat baki 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel dan ejaan “tali” dipinda kepada “taali”.

Interlok, edisi asal diterbitkan kali pertama pada 1971 dan kemudian diulang cetak dua tahun kemudian dengan diperbaiki dan edisi kedua diterbitkan pada 1996.

Edisi Murid diterbitkan pertama kali pada 2010 berikutan novel ini telah dipilih oleh Jawatankuasa Penilai Teks Sastera Kementerian Pelajaran sebagai Novel Komponen mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk Tingkatan Lima mulai tahun ini.

Bagaimanapun isu ini berlarutan ekoran tindakan beberapa wakil masyarakat Cina pula menyuarakan pandangan agar novel itu digugurkan daripada digunakan di sekolah minggu lalu.

Tiada ulasan: