Ahad, 10 April 2011

PRN Sarawak : Undi Pos Bermula Rabu Ini

TVS NEWS


KUCHING : Proses pengundian pos bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 akan dijalankan pada Rabu ini (13 April) untuk polis, manakala tentera selama dua hari iaitu pada Rabu dan Khamis.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak, DatukTakun Sunggah berkata, undi pos bagi pilihan raya negeri kali ini adalah bagi pegawai dan anggota tentera serta pasangan mereka, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan polis serta pasangan mereka, pelajar di luar negara juga petugas SPR, yang kesemuanya berjumlah 18,363 orang.

"Undi pos akan dikeluarkan esok (ke kem-kem dan balai polis), sementara bagi pelajar di luar negara yang seramai 34 orang, kertas undi akan dihantar melalui Pos Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Buku Undi Pos di Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) Kuching di sini.

Sementara itu, beliau berkata pada hari pengundian Sabtu ini, kesemua kertas undi akan dikira di 1,739 pusat mengundi, manakala 10 lagi pusat mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Katibas, proses mengira kertas undi akan dilakukan secara berkelompok di Balai Raya Song.

"Ini adalah kerana 10 pusat mengundi tu jauh ke dalam...jadi untuk membawa keluar mengambil masa yang lama. Jadi kita kumpulkan di satu tempat untuk memudahkan urusan mengira undi," katanya.

Takun berkata jika semuanya berjalan lancar, keputusan pengundian di semua kawasan DUN akan dapat dilakukan sebelum pukul 11 malam.

Beliau berkata setakat ini kempen pilihan raya berjalan dengan lancar, walaupun ada aduan tetapi ianya tidak serius dan telah dapat diselesaikan dengan baik.

Tiada ulasan: