Rabu, 20 April 2011

P'raya negeri: Wartawan S'wak dakwa layanan buruk

BERNAMA

Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) akan membuat laporan kepada pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berhubung layanan buruk daripada sesetengah pegawai SPR terhadap wartawan semasa pilihan raya negeri ke-10 baru-baru ini.

Presidennya Roger TL Liong berkata beliau menerima beberapa aduan daripada ahli FSJA di Kuching, Miri dan Bintulu.

NONEKatanya faktor yang amat dikesali apabila pas yang dikeluarkan oleh SPR untuk wartawan membuat liputan pilihan raya itu tidak diterima oleh pegawai-pegawai berkenaan.

"Hanya dua hari sebelum penamaan calon iaitu pada 6 April wartawan dimaklumkan pas warna merah jambu dan dokumen lain yang mereka terima tidak boleh digunakan.

"Mereka diberitahu supaya mendapatkan tiga pas berlainan untuk memasuki pusat penamaan calon, pengundian dan pengiraan undi," katanya.

Liong berkata wartawan diarah untuk menguruskan sendiri pas itu di pejabat Pegawai Daerah yang berkenaan yang mana menyukarkan mereka kerana masa yang semakin suntuk.

NONE"Untuk menjadikan lebih buruk, 'peraturan baru' ditetapkan bagi setiap akhbar di mana hanya boleh menghantar dua wartawan ke sebuah pusat dan nama mereka harus diletakkan di dalam surat rasmi daripada syarikat.

"Keadaan itu menyebabkan rakan-rakan wartawan dari luar negeri itu tidak dapat membuat liputan," katanya.

Liong berkata pada hari penamaan calon, pegawai-pegawai SPR hanya membenarkan mereka mengambil gambar calon dari jarak 30.5 meter.

NONE"Pada hari pengiraan undi pada sebelah petang juga, hanya pekerja-pekerja SPR dan parti yang mengiringi calon mereka, boleh bergerak bebas untuk mengambil gambar.

"Lagi sekali wartawan diarahkan berada pada jarak 30.5 meter. Mereka juga tidak menyediakan kerusi tetapi sebaliknya kerusi disediakan untuk mereka yang hanya datang untuk memerhati.

Bagaimanapun, sebahagian pegawai SPR di kawasan lain memberi kerjasama yang baik, kata Liong.

Sehubungan itu beliau berharap SPR dapat menetapkan peraturan dan prosedurnya untuk membantu media menjalankan tugas.


Tiada ulasan: